Memaparkan catatan dengan label NGC Coin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NGC Coin. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Januari 2020

Numismatic Guaranty Corporation (NGC) - Malaysia Silver Proof Colorized Coin Collection (2013-2017)

Bismillahhirahmanirrahim dan  Assalammualaikum. Tulisan pertama tahun 2020. Bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk berkongsi  penulisan dalam laman ini walaupun scene numismatic negara kita sejak 3-4 tahun ini mengalami kesejukan. Keghairahan suatu ketika dulu kini semakin dingin. Cabang pengumpulan syiling peringatan turut sama mengalami kedinginan sejuk beku. Antara punca sejuk beku ini terjadi apabila BNM selaku pengeluar syiling peringatan tidak mengeluarkan syiling peringatan untuk tahun 2018. Satu kerugian besar sebenarnya bagi pasaran sebab bila tiada keluaran maka keghairan pun turut sama merudum.
 
Syukur, untuk tahun 2019, adanya peristiwa bersejarah apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Maka BNM pun mengeluarkan syiling peringatan, dapatlah kami sebagai pengumpul tegar melepaskan rindu. Katakanlah tiada pertabalan tersebut, maka kemungkinan besar tiada langsung agaknya pengeluaran syiling peringatan untuk tahun 2019.
 
Entri kali ini berkongsi koleksi berkenaan kesemua syiling berwarna keluaran BNM sejak tahun 2013-2017 kecuali syiling pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. Kesemua syiling yang dipaparkan telah digredkan oleh Numismatic Guaranty Corporation.
 
Buat pembaca baru mahupun pengumpul baru yang ingin mengetahui apa bendanya NGC ini boleh baca penulisan awal tahun 2019 dimana saya telah berkongsi secara umum berkenaan pengredan duit syiling - KLIK SINI
 
Foto dibawah saya paparkakan kesemua syiling peringatan berwarna yang telah digredkan. Koleksi lengkap syiling perak tempaan peruf (proof coin) Malaysia dari tahun 2013  hingga 2017, 13 keping syiling peringatan. Turut sama 2 keping syiling peringatan luar negara dalam koleksi saya
 
 * Kelihatan permukaan syiling seakan-akan berwarna hitam, sebenarnya untuk pengetahuan mereka di luar hobi ini, syiling tempaan proof mempunyai permukaan bersinar dan berkilauan yang bagaikan cermin, kelihatan hitam tersebut adalah bayangan ketika mengambil gambar ini, sebab tu semacam kelihatan warnanya gelap, syiling-syiling ini sebenarnya lebih cantik dilihat dengan mata sendiri.

* Syiling ini juga jika diamati dengan mata sendiri akan kelihatan lebih bersinar (shining), berkilau (brilliant) dan berkilat (lustre). Namun oleh sebab saya tidak menggunakan flash ketika mengambil foto, maka syiling keihatan agak pudar dan dan kabur menjadikannya tidak beberapa menarik - lagipun foto diambil guna handphone, tak mampu nak upah jurufoto.
 
* Yang berwarna merah kuning itu adalah no. siri (yang didaftarkan di NGC) untuk setiap syiling yang terpaksa ditutup untuk mengelakkan penyalahgunaan.

*Klik pada setiap tajuk syiling jika ingin melihat keadaan syiling sebelum digredkan (raw coin)
  
 

 
 
 
 
 

 
 

  

 
 
 
 
  
 
 
 
 
 
 



 
 
 
 
 




 
Tak mampu untuk dimiliki, jadi tiadalah hantar ke NGC
 
 
 
Syiling luar negara dalam koleksi, ada sentimental value untuk dua keping syiling nie.



Rabu, 2 Januari 2019

Numismatic Guaranty Corporation (NGC) - Malaysia Silver Proof Coin Collection (2008-2013)

 
 
Bismillahhirahmanirrahim dan Assalammualaikum, tulisan pertama untuk tahun 2019. 2018 menyaksikan zaman gelap bagi pengumpul tegar syiling peringatan. Sejarah kelam kembali berulang apabila tiada langsung duit syiling peringatan yang diterbitkan pada tahun lepas.

Seperti biasa dalam jiwa setiap pengumpul tak kira apa sekali pun hobi  yang diceburi apabila munculnya tahun baru masihi, pasti akan ada beberapa koleksi yang menjadi sasaran dan buruan untuk tahun ini, moga berjaya dimiliki. Memulakan tulisan untuk 2019 dengan perihal NGC...

(*Adalah lebih baik menulis sesuatu ketika suasananya telah "sejuk" berbanding dengan menulis ketika suasananya tengah "panas", sebab bila "panas", akan terlalu ramai yang akan menjadi "pakar")

Saya mula menyedari tentang kewujudan Numismatic Guaranty Corporation (NGC) dalam suku kedua tahun 2013. Itupun secara tidak langsung apabila melihatkan syiling-syiling edaran Malaysia yang telah dihantar ke NGC kelihatan begitu menarik "persembahannya"  -  ada labelnya,  ada taraf gred pada setiap syiling, dimuatkan pula dalam slab. Tangapan awal saya begitu teruja melihatkan keunikan tersebut terutamanya melihatkan bagaimana syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen 50 sen dan sebagainya (yang berlainan saiz diameter) apabila telah dimuatkan dalam slab  NGC kelihatan mempunyai sama saiz (senang untuk disusun).
 
Terpesona melihatkan betapa elegan dan moden syiling yang telah dimuatkan dalam slab, saya sendiri telah menempah slab (homemade) untuk sebahagian syiling yang dimiliki. Boleh baca di sini - Coin Slab
 
Untuk syiling tempaan proof, saya berhajat untuk menghantarnya ke NGC walapun ketika itu masih dalam situasi 50/50 (faktor wang, faktor keselamatan, dan segala macam hal), masa tu ada juga seloroh daripada rakan-rakan yang berasa hairan kerana saya ingin menghantar syiling peringatan sedangkan ketika itu, scene numismatic tempatan tengah gilakan penghantaran syiling edaran (1 sen, 5 sen, 10 sen dan seterusnya) ke NGC dan wang kertas ke PMG (nak tulis pasal PMG saya bukannya pengumpul wang kertas, maaf). Sedangkan, di peringkat antarabangsa, syiling peringatan merupakan koleksi yang paling banyak sekali dilakukan proses penggredan. Itulah uniknya pengumpul di Malaysia, lain daripada yang lain.
 
Dalam bulan Julai atau Ogos 2013, saya mula beranikan diri dengan menghantar dua keping syiling saya ke NGC, dan proses pergi baliknya memang makan bulan (untuk pengetahuan mereka di luar bidang ini). Waktu ini, dalam kategori syiling peringatan perak tempaan proof (silver proof coin) bernilai muka RM10, tak sampai pun  20 keping yang dihantar ke NGC. Kini, ketika saya menulis entri ini, jumlah kepingan syiling bernilai muka RM10 yang telah ke NGC mencecah 1000+ keping.
 
Saya siap print screen jadual bilangan syiling itu pada tarikh 16/01/2014. Rujuk gambar di bawah.
 

 
 
Untuk pengetahuan mereka yang diluar hobi ini yang tertanya-tanya apa bendanya NGC, secara mudah dan ringkas untuk difahami:
 
  • NGC merupakan syarikat yang berpangkalan di Florida, USA yang menyediakan khidmat penggredan syiling dari seluruh dunia, hampir puluhan juta kepingan syiling dari seluruh dunia telah mereka gredkan. Laman web NGC - Klik sini
  • NGC akan menilai setiap kepingan syiling dan meletakkan gred tertentu. Syiling tersebut akan dimuatkan dalam slab yang mempunyai label yang memparkan gred yang diperoleh dan juga nombor siri  serta kod bar.
  • Walaupun ada beberapa lagi syarikat lain yang menjalankan perkhidmatan yang sama, tetapi NGC sangat popular dalam kalangan pengumpul di tanah air.
  • Duit syiling yang ingin digredkan akan dihantar melalui khidmat ejen. Selalunya ejen ini mempunyai kedai menjual duit lama. Ada juga ejen dalam kalangan orang perseorangan.
  • Ejen ini yang akan menguruskan penghantaran ke NGC dan menghubungi kita setelah syiling tersebut telah kembali ke Malaysia.
  • Pengalaman saya, selalunya masa yang diambil antara dua setengah bulan hingga lima bulan (bergantung pada proses pengangkutan pergi balik dan juga kesibukan staf NGC)
  • Kadar bayaran untuk setiap kepingan syiling berbeza, bergantung pada kuantiti yang kita hantar, melalui siapa (ejen) yang kita hantar, syiling Malaya/Malaysia tahun 1967 ke bawah atau ke atas, kadar tukaran RM-USD, dan kadar insurans untuk setiap syiling. Selalunya julat harga antara RM90-RM250 untuk setiap syiling.

Saya menghantar syiling ke NGC bukan atas faktor gred. Saya tidak pernah kisah langsung tentang gred yang diperoleh (dapat gred tinggi itu bonus). Paling penting syiling itu akhirnya selamat kembali ke tangan saya. Jika mahu dikirakan gred, pasti sedikit sebanyak akan kecewa jika syiling tidak mendapat gred yang tinggi.
 
Dorongan utama sebab saya melihat syiling peringatan mempunyai pelbagai saiz, susah untuk disusun. apabila dimuatkan dalam slab, apa saiz sekalipun akan menjadi sama dan mudah disimpan mahupun diperagakan (tetapi dalam kes tertentu, saiz slab akan lebih besar jika syiling tersebut memang berdiameter besar - selalunya berkaitan silver bullion seperti 2oz silver, 500 gram silver mahupun 1kg silver yang dikeluarkan penempa luar negara, produk seperti ini agak jarang-jarang diminati oleh pengumpul tempatan). Yang ada slab saiz besar untuk syiling Malaysia setakat ini cuma 3 jenis sahaja iaitu: syiling tembaga RM5 Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia (2016), syiling perak RM150 dan syiling tembaga RM15 sempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV (2017), ketiga-tiga syiling ini mempunyai garis pusat berdiameter 50.0 - melebihi saiz standart slab NGC 

Selain itu, hanya pada tahun 2013, BNM baru menggunakan material perak (silver) dengan ketulenan .999, sebelum ini menggunakan material silver sterling dengan ketulenan .925. Syiling yang menggunakan material silver sterling ini perlukan penjagaan yang sangat rapi kerana mudah toning, oxidation, dan ada juga yang mempunyai tanda milk spot. Tak tahu lah benda ini terjadi kerana apa, mungkin cara penyimpanan, mungkin material silver itu sendiri, mungkin tempoh tahun, ataupun juga cuaca Malaysia yang sentiasa panas lembab sepanjang tahun.
 
Dorongan kedua apabila melihatkan kapsul atau air tite yang melindungi syiling peringatan juga ada yang mudah pudar (macam lampu depan kereta yang lama-lama akan kekuningan) secara tak langsung membuatkan syiling kelihatan tidak begitu menarik, ada juga air tite tersebut bercalar. Saya sendiri mempunyai beberapa syiling seperti ini dan apabila telah digredkan, kelihatan syiling tersebut begitu cantik. Ada juga keadaan dimana syiling kelihatan seperti berwap dan mencacatkan syiling tersebut. Selepas dihantar ke NGC, tiada kelihatan wap tersebut (wap tersebut melekat pada air tite  sebelah dalam dan bukannya syiling. Ini membuktikan bahawa syiling itu sebenarnya cantik, tetapi air tite tersebut sebenarnya telah pudar dan juga bercalar mahupun berwap, terima kasih pada air tite tersebut yang berkorban untuk melindungi syiling.

 
 
*Sekadar tambahan maklumat, rakan instagran saya yang dari luar negara pula punya alasan lain mengapa beliau menghantar koleksi syilingnya ke NGC.
 

Foto dibawah saya paparkakan sebahagian kecil syiling peringatan saya yang telah digredkan. Koleksi lengkap syiling perak Malaysia dari tahun 2008  hingga 2013, 14 keping syiling peringatan.
 
 * Kelihatan permukaan syiling seakan-akan berwarna hitam, sebenarnya untuk pengetahuan mereka di luar hobi ini, syiling tempaan proof mempunyai permukaan bersinar dan berkilauan yang bagaikan cermin, kelihatan hitam tersebut adalah bayangan t-shirt yang saya pakai ketika mengambil gambar ini, sebab tu semacam kelihatan warnanya gelap, syiling-syiling ini sebenarnya lebih cantik dilihat dengan mata sendiri.

* Syiling ini juga jika diamati dengan mata sendiri akan kelihatan lebih bersinar (shining), berkilau (brilliant) dan berkilat (lustre). Namun oleh sebab saya tidak menggunakan flash ketika mengambil foto, maka syiling keihatan agak pudar dan dan kabur menjadikannya tidak beberapa menarik - lagipun foto diambil guna handphone, tak mampu nak upah jurufoto.
 
* Yang berwarna merah kuning itu adalah no. siri (yang didaftarkan di NGC) untuk setiap syiling yang terpaksa ditutup untuk mengelakkan penyalahgunaan.

*Klik pada setiap tajuk syiling jika ingin melihat keadaan syiling sebelum digredkan (raw coin)
 










 
 









Duit Syiling Peringatan Sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV (2012)


Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Muzium Negara Ke-50 (2013)



 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...