Bank Negara Malaysia
mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Kepengerusian
ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25) pada 7 November 2025.
Duit syiling perak
pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak sterling dengan ketulenan 9.25
dan berat setiap keping ialah 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10.
Sebanyak 1000 keping ditempa untuk set single. Tempahan untuk syiling
peringatan ini secara dalam talian dibuka mulai bermula pukul 12:00 tengah hari
Jumaat, 7 November 2025 hingga 8:59 pagi Isnin, 17 November 2025.
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan reka bentuk yang diinspirasikan daripada konsep kesinambungan, dengan menggabungkan elemen tenunan tradisional sebagai motif utamanya. Motif ini mengalir secara bersambung dari bahagian hadapan ke bahagian belakang syiling, menjadikannya yang pertama dalam sejarah reka bentuk numismatik Malaysia. Reka bentuk ini menampilkan logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan bola api yang digayakan, yang melambangkan semangat dinamik dan progresif semua negara anggota ASEAN. Tulisan “ASEAN-MALAYSIA 2025” tertera pada bahagian atas kanan keliling duit syiling sebagai memperingati peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan nama motif tenunan diteruskan pada bahagian belakang, melambangkan hubungan kukuh dan kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas kiri duit syiling. Nilai muka tertera sebagai “10 RINGGIT”.








