Isnin, 29 Februari 2016

Duit Syiling Peringatan Sempena Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia (2016)






 
Agak menarik jika melakukan posting pada tarikh ini, tarikh yang terjadi cuma setiap empat tahun sekali, tahun lompat, tahun yang akan berlansungnya sukan olimpik musim panas.
 

***********************************************
Tiba-tiba, ramai kawan-kawan yang seangkatan berkongsi satu poster yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang selalu mengadakan lelongan wang kertas bernombor cantik. Poster yang memaparkan bahawa cuma terdapat 120 keping sahaja syiling peringatan ini ditempa. Maklumat secara umum seperti ini membuatkan ramai yang "panas" termasuklah diri saya. Sejak bila pula BNM jual syiling peringatan secara lelongan??? Adakalanya jika terlalu berahsia sangat boleh buat pelanggan rasa menyampah.
 
Poster yang langsung tidak menghormati BAHASA MELAYU sebagai bahasa kebangsaan walaupun Malaysia telah merdeka 59 tahun.
 
Ringkasnya setelah BNM sendiri mengeluarkan kenyataan siaran akhbar pada 27/02/2016, syiling mula dijual pada 29/02/2016:
 
1. Tiada pengeluaran syiling emas
2. Bilangan syiling emas nordic / coin card - 10,000 keping
3. Syiling perak berwarna tempaan peruf - 500 set
4. Set 2 dalam 1 - 2000 set, jarang-jarang berlaku set 2 dlm 1 lebih banyak berbanding dengan set tunggal (single set).
5. Syiling tembaga tulen berdiameter 60mm (saiz besar) bernilai muka RM5 - 150 keping dalam kemasan tanpa kilat dan 150 keping lagi dalam kemasan kilat (mirip peruf)
 
Syiling tembaga ini lah yang akan dilelong pada 06/03/2016 dengan harga terendah bermula dengan RM150.
 
*Buat 300 keping, lelong 120 keping, lagi 180 keping untuk siapa???
 
***********************************************
Tiba di Sasana Kijang dalam pukul 8.30 pagi lalu terus mengambil nombor giliran. Nombor giliran yang dapat 144, jadi ada masa untuk minum dan bersembang dengan kawan-kawan sementara menunggu giliran. Ada yang mula beratur sejak pukul 7 malam semalamnya, ada yang hadir seawal pukul 5 pagi. Jika sebelum sebelum ini set 2 dlm 1 menjadi buruan, untuk isu ini set single menjadi buruan kerana jumlahnya yang jauh lebih kecil. Ketika ini juga kawan-kawan yang berada di Pulau Pinang dan Johor Bahru turut sama berkongsi suasana.

Menyimpan foto yang berkaitan dengan suasana semasa hari pelancaran atau hari jualan lebih sentimental berbanding dengan foto koleksi itu sendiri kerana kejadian itu cuma berlaku pada hari itu sahaja. Lebih sentimental jika foto-foto tu dapat ditatap berpuluh tahun dari sekarang. Sebab itu untuk isu-isu syiling peringatan sejak kebelakangan ini saya lebih suka ambil foto suasana, foto poster, foto kenyataan dan sebagainya.
 
 
  
 
 




Antara legenda yang hadir, Saudara UPTOWN BANKNOTE

*************
Copy Paste Foto dari FB Chee Lee a.k.a Uptown Banknote


Mengikut FB beliau dan juga ramai lagi, set single silver telah habis pada pukul 10.30 pagi, mujur saya dapat membeli pada pukul 10.10, ketika itu bilangan single silver yang masih berbaki cuma beberapa keping sahaja. Ada juga rakan-rakan saya yang membeli di BNM cawangan Pulau Pinang dan Johor Bahru turut sama berkongsi cerita yang mereka turut gagal memiliki set single silver.
 
***********************************************
 




 
- Kali ini, seorang cuma boleh beli 5 keping coin card sahaja, dan macam biasa, jumlah GST yang harus dibayar ialah RM30.
 
***********************************************


Kali ini BNM menggunakan kotak bahagian luar berwarna putih. Kelihatan suci. Sedikit sejarah, budak budak sekarang sebut throwback - sama seperti kebanyakan kotak-kotak luar zaman purba dahulu (1969-1992) - zaman syiling peringatan kotak luar berwarna putih manakala kotak dalam berbaldu biru.

Dan beberapa isu untuk syiling peringatan dibawah Royal Mint Malaysia juga menggunakan kotak putih kosong, kelihatan simple. Apabila BNM mengambil alih pengeluaran syiling peringatan pada tahun 2007, kotak digunakan kelihatan ekslusif, kotak luar dan kotak dalam saling bertukar warna dan logo yang berkaitan dengan isu dicetak pada bahagian atas kotak.

Mulai tahun 2013-2015, BNM menggunakan kotak dengan stail yang lebih mesra untuk dipamerkan (display style box). Mulai tahun 2016, mereka gunakan jenis seperti ini pula. Apa yang saya faham, situasi ini bergantung pada pengedar, saya pernah terbaca dalam laman web BNM entah tahun bila yang mereka keluarkan tender kepada pihak yang mahu membuat kotak-kotak untuk syiling peringatan.

Bagusnya bila kotak luar berwarna putih, pastinya sama ada suka atau tidak, pengumpul akan membalut kotak ini untuk mengelakkan kotoran.



Sekadar perbandingan dengan kotak untuk isu sebelumnya, saiznya kelihatan lebih kecil sedikit. Namun masih besar jika dibandingkan dengan saiz kotak yang dikeluarkan oleh penempa antarabangsa seperti Perth Mint. Sejak mula saya menjadi pengumpul lagi, ramai yang merasakan saiz kotak syiling terlalu besar dan sudah semestinya memakan ruang untuk penyimpanan.



Tiada lagi cetakan logo yang berkaitan dengan isu pada luar kotak seperti kebiasaan sebelum ini. Ada kemungkinan untuk isu-isu seterusnya akan sama menggunakan kotak seperti ini yang kelihatannya lebih elegan. Yang ada cuma logo dan nama BNM sahaja pada penjuru kotak, mengingatkan saya pada kulit album Metallica yang berjudul Black hehehe...

Ada yang kata, kalau kotak jenis seperti ini, kena jaga dengan betul sebab takut berkulat. Kotak jenis apa sekalipun memang kena jaga, tak kan nak tunggu sampai berkulat baharu nak tanya sana sini macam mana hendak menjaganya.




Bahagian kotak belah dalam, tiada lagi cetakan perkataan BANK NEGARA MALAYSIA pada belah dalam seperti kebiasaannya. Bagi saya, sama ada cetakan itu atau tidak, tidak menjadi isu pun. Ada rakan-rakan yang suka dengan reka bentuk terbaru daripada BNM ini, ada yang tidak berapa gemar. Jujurnya, saya lebih suka jika baldu biru itu ditukar menjadi baldu hitam, akan menaikkan lagi warna pada syiling. Tetapi ini bukan masalah pun.




 


Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia 2016. Kejohanan antarabangsa ini telah menerima penyertaan lebih daripada 100 negara. Kejohanan ini akan diadakan dari 28 Februari 2016 hingga 6 Mac 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
 
Duit syiling pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 500 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dijual pada 29 Februari 2016. Sumber tidak rasmi memaklumkan bahawa penempaan syiling berwarna ini dilakukan oleh Singapore Mint.
 
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej aksi pemain pingpong melakukan servis dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Imej bet pingpong berwarna merah dan bolanya berwarna kuning. Perkataan ”WORLD TEAM” tertera pada bahagian atas duit syiling manakala perkataan ”TABLE TENNIS CHAMPIONSHIPS 2016” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling ini.
 
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan perkataan ”BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling pula tertera pada bahagian bawah duit syiling. Logo acara bersempena dengan Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia 2016 dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini.

***********************************************









 
*Foto diambil daripada syarikat yang bertanggungkawab untuk mengadakan lelongan syiling tembaga ini
 

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga buat julung-julung kalinya mengeluarkan syiling yang diperbuat daripada tembaga tulen (copper) dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 130 gram. Diameter kelebaran syiling ini ialah 60mm menjadikannya sebagai syiling Malaysia bersaiz paling besar. Nilai muka duit syiling ini ialah RM5 dan akan dilelong pada 06/03/2015 di Sasana Kijang. Acara lelongan yang dijalankan oleh MNP Auction bermula pada harga penunjuk RM150. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa, iaitu 150 keping dalam kemasan tanpa kilat (matte finishing) dan 150 keping dalam kemasan kilat (mirror finishing) (mirip pruf/proof like).
 
Jika cuma sejumlah 120 keping syiling sahaja yang akan dilelong iaitu 60 keping dalam kemasan tanpa kilat dan 60 keping lagi dalam kemasan kilat. Baki 180 keping lagi hanya BNM sahaja tahu ke mana perginya.
 
Turut menjadi tanda tanya dalam kalangan pemain numismatik adakah untuk isu-isu seterusnya dalam pengeluaran syiling peringatan akan ada diperbuat sekali syiling tembaga ini? Jika ada sekalipun, adakah kaedah penjualannya secara terbuka seperti biasa ataupun secara lelongan.
 
Persoalan dan desas-desus ini ada asasnya kerana secara umum BNM akan menerbitkan dua atau tiga isu syiling peringatan dalam setahun. Manakala syarikat yang BNM lantik untuk buat lelongan itu juga mengadakan dua atau tiga acara lelongan dalam setahun. Nampak macam selari. Hanya masa akan yang akan menentukan jawapan kepada persoalan ini kerana BNM tentunya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan dan kebanyakan pemain numismatik pun sudah lali dengan BNM.

UPDATE SELEPAS ACARA LELONGAN PADA 06/03/2016 - HARI MALANG UNTUK PARA PENGUMPUL SYILING PERINGATAN.
 
Mengikut perancangan asal, mahu hadirkan diri dalam acara lelongan ini. Ingin menyaksikan dengan mata sendiri suasananya. Namun ada urusan lain yang lebih penting. Tidak menjadi halangan, kerana pastinya ada rakan-rakan yang hadir akan update dalam facebook masing-masing.

Dalam hidup ini, terimalah hakikat bahawa nilai kewangan setiap orang adalah terlalu berbeza. Analoginya, RM15 bagi orang marhaen seperti saya boleh menampung kos makan minum untuk sehari, tetapi bagi orang "ada-ada", RM15 belum tentu cukup untuk membeli segelas air minuman bersaiz besar di Starbuck. Lumrah seperti ini normal. Yang tidak berapa normal ialah jika sepotong kueh yang sepatutnya berharga 50 sen, tetapi ada orang "ada-ada" sanggup membayarnya dengan harga RM50. Walaupun boleh kita katakan suka hati orang tersebut sebab duit dia, apa yang dia mahu beli adalah hak dia, tetapi jauh disudut hati kita, pastinya kita tertanya-tanya adakah pembelian itu kelihatan berbaloi? Yang penting, bagi yang memilikinya, mereka punya alas an sendiri yang perlu dihormati.

Begitulah juga dengan apa yang terjadi dalam acara lelongan syiling tembaga ini. Kesemua 120 keping syiling TEMBAGA habis dibida dengan harga terendah pada RM1700 hingga harga tertinggi RM2400. Itu belum termasuk % yang perlu dibayar oleh pemenang bida bagi setiap syiling. Dengan purata setiap kepingan berharga RM2000 didarab dengan 120 keping, RM240 ribu berjaya dikutip. Satu "kejayaan" yang paling manis untuk BANK NEGARA MALAYSIA dan syarikat yang dilantik. Memang wajar saranan sahabat-sahabat pengumpul numismatik yang menyarankan agar selepas ini BANK NEGARA MALAYSIA tidak perlu lagi menjual syiling peringatan secara terbuka seperti sekarang. Buat sahaja secara lelongan kerana hasilnya teramat amat amat LUMAYAN. (kalau faham .. faham, kalau tak faham, memang mak nko hijau)

Ada sahabat saya yang memang pengumpul tegar syiling peringatan hanya mampu geleng kepala dan pulang dengan tangan kosong. Harga yang dibida terlalu jauh untuk dijangkau. Desas desus juga mengatakan bahawa kebanyakan syiling TEMBAGA itu dibida oleh mereka yang bukan dalam kalangan pengumpul. Itu soal lain, hak mereka sebagai pembeli dan tiada siapa pun pertikaikan urusan mereka. Yang dipertikaikan adalah kewajaran BNM mengadakan acara lelongan untuk syiling ini.

Saya print screen harga akhir bidaan untuk kesemua 120 keping syiling yang dilelong.

 










 

 ***********************************************


Tiada dalam blog ini:
 
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan peruf 2 dalam 1 yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 2000 set.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...