Rabu, 27 Julai 2011

Commemorative Coin for Malaysia's New Third Coins Series (2011)











Bank Negara Malaysia mengeluarkan set duit syiling peringatan (Brilliant Uncirculated) sebanyak 500000 keping yang di pakej secara khas mula dijual pada 26 Julai 2011. Duit Syiling ini dilancarkan pada 25 Julai 2011 oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, duit syiling peringatan yang dikeluarkan adalah dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Duit Syiling ini dikeluarkan sempena pengeluaran Siri Ketiga duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada awal 2012.

Ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi reka bentuk duit syiling siri baharu ini. Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna dan seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Siri baharu duit syiling ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling yang berlainan.

Duit syiling baharu ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Reka bentuk Duit Syiling
Bahagian Hadapan Duit Syiling
Motif untuk denominasi 5 sen, 10 sen dan 20 sen memaparkan empat belas titik yang melambangkan tiga belas Negeri serta Wilayah Persekutuan. Motif untuk duit syiling 50 sen mempunyai lima garis mendatar yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara.

Bahagian Belakang Duit Syiling
Bahagian belakang semua duit syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen memaparkan motif yang sama iaitu bunga raya, yang merupakan bunga kebangsaan dan angka yang menunjukkan tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'Bank Negara Malaysia 'sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling.

Keunikan Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga
Ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini. Dengan tema “Keunikan Malaysia”, reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraf tangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara. Duit syiling ini menyerlahkan identiti kebangsaan Malaysia yang kaya dan pelbagai dengan begitu indah sekali.

50 sen - Sulur Kacang
Spesifikasi Teknikal
Logam: Nikel Loyang Bersalut Kurpum
Garis Pusat (mm): 22.65
Ketebalan (mm): 1.92
Berat (gram): 5.66
Bentuk: Bulat Berlekuk Sembilan
Sisi: Kosong
Warna: Kuning


Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.
20 sen - Bunga Melur
Spesifikasi Teknikal
Logam: Nikel Loyang
Garis Pusat (mm): 20.60
Ketebalan (mm): 1.75
Berat (gram): 4.18
Bentuk: Bulat
Sisi: Kasar
Warna: Kuning

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga
.

10 sen - Motif Orang Asli
Spesifikasi Teknikal
Logam: Keluli Tahan Karat
Garis Pusat (mm): 18.80
Ketebalan (mm): 1.50
Berat (gram): 2.98
Bentuk: Bulat
Sisi: Halus
Warna: Putih

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.


5 sen - Destar Siga

Spesifikasi Teknikal
Logam:
Keluli Tahan Karat
Garis Pusat (mm): 17.78
Ketebalan (mm): 1.12
Berat (gram): 1.72
Bentuk: Bulat
Sisi: Kosong
Warna: Putih

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...