Rabu, 9 Ogos 2017

Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia Ke-100 (2017)





Proses Mereka bentuk Syiling Peringatan 100 tahun Industri Kelapa Sawit


Terima kasih pada sahabat saya di Malaysia Coin yang sudi merakamkan video ini. Alangkah bagus jika pihak BNM membuat video sebegini untuk setiap syiling yang akan datang.


Merupakan isu ke-70 dalam sejarah penerbitan duit syiling peringatan Malaysia sejak tahun 1969.

* Antara isu syiling peringatan yang memang dijangkakan akan diterbitkan. Namun tarikh keluaran syiling ini agak lewat berbanding dengan sambutan rasmi.

* Sambutan rasmi 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara telah diadakan di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Selangor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Mei 2017.

* Semasa majlis sambutan rasmi, ramai pengumpul termasuklah saya menjangkakan bahawa pada tarikh berkenaan akan dilancarkan sekali koleksi syiling peringatan. Namun yang ada pada ketika itu cuma keluaran filateli yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia.

* Sebaliknya pelancaran syiling ini diadakan hampir dua bulan selepas sambutan rasmi... ketika semua orang tengah ghairah berbicara tentang MRT, dan begitu ramai pengumpul mengharapkan agar ada syiling peringatan tentang MRT.

* Kali ini cuma syiling coin card sahaja yang kekal dengan harga lama, manakala untuk syiling tempaan peruf, BNM telah menaikkan harga. Sebelum ini, untuk syiling perak berwarna dijual pada harga RM212 termasuk GST untuk set single silver, kali ini harga jualan meningkat kepada RM243.80 termasuk GST dan set of two yang sebelum ini dijual pada harga RM265 termasuk GST kini dijual pada harga RM296.80 termasuk GST. Agak tinggi juga peningkatan harga yang dilakukan oleh BNM.

Foto semasa hari pelancaran pada 27 Julai 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Sasana Kijang, Kuala Lumpur




Sumber: FB Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi - MPIC


Sumber: Laman Sesawang Bank Negara Malaysia

Sementara itu, ketika sambutan rasmi pada 18 Mei 2017, Pos Malaysia telah mengeluarkan produk filateli. Saya juga seorang pengumpul setem yang memiliki koleksi lengkap setem Malaysia sejak tahun 1957, pastinya koleksi setem ini akan dimiliki.




Sumber: Laman Sesawang Pos Malaysia
************************************

Kali ini BNM mula mempamerkan koleksi syiling peringatan ini di kesemua lokasi jualan mulai 31 Julai 2017. Saya berkesempatan pada tarikh 31 Julai untuk melihat sendiri koleksi syiling tersebut. Bagi lokasi di Sasana Kijang, koleksi ini dipamerkan di tingkat tiga, bersekali dengan pameran pemenang pertandingan World Palm Potraits – “The Incredible Journey”.

Berbeza dengan cawangan BNM lain yang hanya mempamerkan koleksi syiling peringatan yang akan dijual, pameran di Sasana Kijang pula mempamerkan bahan lain seperti replika syiling ini (yang digunakan semasa pelancaran), lakaran awal imej kelapa sawit pada wang kertas RM50 - seperti yang kita ketahui imej pada sebelah belakang wang kertas tersebut memaparkan imej kelapa sawit.

Paling menarik, julung kalinya, BNM mempamerkan acuan tempaan (minting die) koleksi ini.









************************************

Tidak sampai 48 jam sebelum jualan, iaitu pada malam 7 Ogos 2017, para pengumpul dikejutkan dengan pengumuman daripada pihak BNM yang jualan syiling ini akan diadakan secara “pengundian awam”.

“ ... Bank Negara Malaysia akan menjual duit syiling peringatan ini melalui proses pengundian awam untuk memastikan pengagihan secara adil kepada para pembeli. Pendaftaran pembelian akan diterima mulai pukul 7.00 hingga 11.00 pagi pada 9 Ogos 2017 di lokasi jualan. Semua pendaftaran pembelian yang diterima akan mendapat peluang yang sama untuk membeli duit syiling ini melalui proses pengundian. Memandangkan jualan duit syiling peringatan ini bukan berasaskan Siapa Dulu Dia Dapat, orang ramai dinasihati supaya tidak beratur di lokasi jualan sebelum pukul 7.00 pagi. Pengundian ini akan diadakan di lokasi jualan mulai pukul 11.30 pagi...”
Seperti biasa, jika ada pembaharuan, maka akan timbul pelbagai persoalan dan andaian yang berlegar dalam kalangan pembeli. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Saya pula beranggapan cara jualan terbaru yang BNM laksanakan ini dapat dibuktikan baik buruknya hanya selepas jualan ini berlangsung. Gambaran dan andaian awal yang saya peroleh hasil pembacaan di laman sosial:

1. BNM mahu elakkan pembeli datang awal (menunggu berjam-jam), tetapi cara terbaru ini membuatkan pembeli tetap kena datang awal untuk mendaftar pada sebelah pagi dan menunggu keputusan pada sebelah petang. Tempoh waktu yang diambil sama lebih kurang dengan konsep beratur awal sebelum ini. Bezanya dahulu menunggu pada waktu malam dan dinihari. Kini menunggu pada waktu siang.

2. Pengumuman cara terbaru yang agak lewat membuatkan ada pembeli / pengaut untung yang sudah mengambil tempahan daripada rakan-rakan yang berhalangan atau berlokasi jauh mula membatalkan tempahan tersebut. Bagus juga kerana mereka yang mahu mengambil untung dengan segera mula berfikir panjang.

3. Bagaimana dengan mereka yang bekerja lalu mengambil cuti separuh hari, terpaksa mengambil cuti penuh (itu pun kalau boleh)? Bagaimana mereka yang bekerja syif? Bagaimana pula dengan mereka yang pada sebelah tengah hari perlu mengambil anak-anak dari sekolah – perlu semula dengan tergesa-gesa kembali ke BNM untuk mengetahui keputusan.

4. Datang sebelah pagi untuk mendaftar, sementara menunggu hingga ke petang, apa yang harus dilakukan? Jika pulang ke rumah, rumah bukannya sebelah lokasi jualan, kena fikir kos petrol dan tol.

5. Bagaimana pula jika pembeli tersebut gagal dalam “pengundian” ataupun tidak dapat membeli apa yang dihajati. Contohnya jika pembeli yang ingin membeli single silver sudah menghabiskan masa berjam-jam menunggu tetapi akhirnya gagal membeli single silver, sudah tentu akan berasa kecewa. Senario yang lain, katakanlah juga cuma ada 500 syiling untuk dijual, tetapi pembeli yang mendaftar 700 orang, sudah tentu 200 orang akan berputih mata dan seharian masa terbuang begitu sahaja. Bagaimana pula dengan pembeli yang sekadar ingin membeli syiling nordic, adakah berbaloi menghabiskan masa seharian.

Ini sebahagian pendapat, persoalan, luahan, andaian, gambaran yang saya kutip daripada laman sosial. Itu belum lagi dengan 1001 pertanyaan tentang tatacara dan kaedah sistem baharu ini.

Bagi saya, sudah tentu pihak BNM telah mengkaji suasana jualan sebelum ini lalu membuat penambahbaikan yang dirasakan sesuai, mungkin akan datang akan ada pula cara lain yang dilaksanakan. Tidak perlu bising dalam laman sosial.
************************************
 Hari Jualan



Syiling peringatan ialah sebahagian daripada cabang numismatik. Bukan semua pemain numismatik meminatinya, bilangan pengumpul yang berkategori tegar dalam pengumpulan syiling peringatan pun tidak seramai mana. Namun satu benda yang mengujakan dalam hobi syiling peringatan ialah setiap kali BNM menerbitkan syiling, maka akan ada kisah yang bagi saya menarik untuk dikongsikan. Terutamanya untuk bacaan jangka panjang, mungkin 20 atau 30 tahun lagi ... siapa yang tahu. 

Sama juga untuk syiling ini, ada kisah dan sejarahnya. Julung kali BNM mengadakan jualan secara pengundian. Dan Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir untuk menjadi sebahagian daripada sejarah itu sendiri.

Kali ini tiada lagi gegantung yang memaparkan imej syiling menghiasi ruang legar Sasana Kijang, cuma ada arah penunjuk lokasi untuk pengambilan nombor (pendaftaran). Saya tiba dalam pukul 10.40 pagi, suasana agak lengang, mungkin ramai pembeli yang telah hadir lebih awal lalu beredar, mungkin juga sebilangan orang yang diketahui akan mengaut untung dengan membawa orang upahan untuk diupah membeli tidak hadir, mungkin juga lengang kerana ada yang tidak bersetuju dengan cara terbaru ini, mungkin juga ada yang tidak berminat untuk membeli kerana isu keluaran ataupun dek kerana harga jualan yang meningkat dalam zaman orang lebih berhati-hati untuk berbelanja. Itu semua cuma kemungkinan, setiap orang ada alasan tersendiri. Foto dibawah menunjukkan betapa amannya suasana, lagi ramai staf BNM berbanding pembeli ketika ini. Dan kali ini juga layanan daripada staf BNM memang terbaik, masing-masing saya lihat begitu komitmen dan mesra dengan pelangggan. TAHNIAH.
 



Kaunter pendaftaran.


Baca syarat no.3 itu, sebab itu yang akhirnya berlaku di Sasana Kijang.

Agak cantik juga tiket untuk cabutan undi di Sasana Kijang sebab di lokasi jualan yang lain, saya lihat menerusi FB cuma cetakan hitam putih atas kertas berwarna. Setiap orang dibekalkan dengan kertas undi yang akan dikoyakkan. Satu untuk simpanan pembeli, satu lagi akan dimasukkan ke dalam kotak untuk undian.


Tiga kotak untuk diisi dengan keratan tiket.


Seperti biasa, bakal pembeli dipakaikan dengan jalur pergelangan tangan (wristband), benda nie serta tiket undian kalau tiada atau ditanggalkan, maka malanglah nasib kerana tidak dibenarkan untuk membeli.


Pukul 11 pagi, sesi pendaftaran tamat sementara menunggu proses pengundian.


Sementara menunggu pukul dua, makan-makan dahulu sambil berharap agar dapat memiliki single silver. Ketika ini menerusi FB rakan yang masih berada di Sasana Kijang, undian untuk syiling ini dibatalkan dan semua pembeli boleh terus membeli (baca syarat no. 3) pada jam 12 tengah hari. Maka bergegas kembali ke Sasana.


Para pembeli ditempatkan dalam dewan sebelum dipanggil untuk beratur membeli syiling. Gambaran sebelah hadapan memang kosong sebab pembeli ketika ini tidak begitu ramai, jadi kami semua dibariskan dibahagian belakang, dekat dengan kaunter jualan.


Pengumuman dari pihak BNM disiarkan.



Sesi jualan berlangsung dan saya memiliki syiling pada pukul 12.33 tengah hari dan terus pulang. Malas nak lepak. Bacaan saya menerusi FB rakan-rakan dan dibenarkan oleh mereka untuk dikongsikan menunjukkan yang sesi pengundian dijalankan di Pulau Pinang, terdapat 92 orang yang mendaftar sedangkan  agihan untuk single silver cuma 26 set, 53 set untuk set of two dan kurang 600 keping untuk coin card (syiling nordic). Untuk lokasi jualan yang lain saya tiada maklumat.



Dalam pukul tiga, seorang lagi rakan memuatnaik foto keputusan undian di Pulau Pinang.



Terima kasih pada rakan di Pulau Pinang yang sudi berkongsi maklumat.

************************************





************************************









Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100. Malaysia adalah antara negara yang terkenal sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar di dunia. Sektor minyak sawit telah memberikan sumbangan yang besar kepada perolehan eksport negara secara kumulatif melalui eksport komoditi dan pelbagai produk nilai tambah kepada pasaran dunia. Sektor ini juga telah mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta meningkatkan kebajikan dan taraf hidup sebahagian besar masyarakat luar bandar di seluruh negara. Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 27 Julai 2017 di Muzium dan Galeri Seni, Bank Negara Malaysia, Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

Sementara itu, sambutan rasmi 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara pula telah diadakan di Ladang Tennamaram, Sime Darby Plantation Bestari Jaya, Selangor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Mei 2017 yang lali. Ladang ini dipilih kerana di sinilah seorang warga Perancis yang bernama Henri Fauconnier telah mengimport beberapa beg benih dari Sumatera, lalu menjadi individu pertama yang menanam kelapa sawit di plot percubaan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada 1914 sebelum menubuhkan ladang komersial yang pertama di kawasan berjiran Tennamaram Estate, Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya) pada 1917, tepat 100 tahun lalu.
 
Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 700 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dijual pada 9 Ogos 2017. Kali ini terdapat sedikit kelainan apabila BNM mengadakan pameran untuk syiling ini mulai 31 Julai 2017.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan logo rasmi sambutan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100 yang melambangkan kemajuan industri minyak sawit di Malaysia dipaparkan di tengah-tengah duit syiling. Perkataan "MINYAK SAWIT MALAYSIA, KEBANGGAAN DAN PENCAPAIAN KITA" tertera pada sekeliling duit syiling.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan ilustrasi imej pokok sawit, yang melambangkan pertumbuhan dan perkembangan industri minyak sawit ke arah pencapaian cemerlang bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-100 pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka tertera pada bahagian bawah duit syiling ini.
************************************
Tiada dalam blog ini
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan peruf 2 dalam 1 (set two in one) yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 1300 set.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...