Memaparkan catatan dengan label # 2010-2019. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label # 2010-2019. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Julai 2019

Duit Syiling Peringatan Sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (2019)



Sumber video: Youtube Bernama WebTV



Sumber video: Youtube beritanasionalrtm rasmi

 


Majalah3 pada 29 Julai 2019 ada memaparkan Proses Pembuatan Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sumber video: Majalah Tiga dan dimuatnaik ke Youtube oleh Malaysia Coin

**********************

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan syiling khas daripada Bank Negara Malaysia.
 
Syiling khas yang dikeluarkan bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai itu dipersembahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus di Istana Negara hari ini.
 
Menurut Pengarah Jabatan Operasi Mata Wang BNM Azman Mat Ali, sebanyak tiga jenis syiling khas iaiatu emas, perak dan emas nodik dipersembahkan kepada Seri Paduka. "Ketiga-tiga syiling khas ini diukir dengan potret Yang di-Pertuan Agong pada bahagian hadapan syiling dan di sebelah belakang diukir lambang jata negara.
 
"Syiling ini diukir dengan teliti oleh pereka khas yang berkemahiran dan dikeluarkan oleh kilang wang BNM sendiri," katanya ketika ditemui Bernama dan RTM selepas persembahan syiling berkenaan.
 
Azman berkata hanya 300 keping syiling emas akan dikeluarkan, perak (1,500 keping) dan emas nodik (15,000 keping).
 
Tempahan syiling pula hanya boleh dibuat melalui laman web rasmi BNM bermula pertengahan Ogos. -Bernama
 **********************




Ketiga-tiga syiling khas yang dikeluarkan BNM sempena Istiadat Pertabalan itu diukir dengan potret Yang di-Pertuan Agong pada bahagian hadapan syiling dan di sebelah belakang diukir lambang jata negara. --foto BERNAMA

Sumber: Astro Awani

**********************




Sumber: FB Bank Negara Malaysia


 
Pos Malaysia juga turut sama mengeluarkan koleksi setem sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 . 

**********************

Update 19 Ogos 2019

Bank Negara Malaysia telah memuatnaik maklumat mengenai tempahan, kaedah bayaran dan juga pengambilan syiling ini melalui laman web mereka. KLIK SINI

Secara ringkas:
  • Tempahan secara online dibuka mulai 19 Ogos 2019 (9.00 pagi) hingga 23 Ogos 2019 (11.00 malam). Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan untuk menentukan tempahan yang berjaya akan dibuat.
  • Setiap orang hanya boleh menempah sekeping syiling emas peruf, sekeping syiling perak peruf, tiga keping emas nordik, dan satu set dua dalam satu (perak peruf dan emas nordik peruf)
  • Semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) dengan menggunakan kad kredit / kad debit atau kemudahan perbankan dalam talian. Bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan. Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan
  • Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019.
  • Pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan yang ditempah antara 30 September hingga 11 Oktober 2019 di lokasi pengambilan yang mereka pilih semasa membuat tempahan. Pengambilan boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa
Sama kaedahnya seperti pembelian syiling peringatan mulai tahun 2017. Bezanya kali ini pembayaran dilakukan dahulu, satu sejarah baru dalam dunia pengumpulan hobi ini. Bagi golongan pengumpul seperti saya dan rakan-rakan, tiada sebarang masalah kerana sememangnya kami mahukan syiling ini, sebab ada di  antara kami termasuklah saya pernah gagal memiliki syiling akibat ketamakkan dan kerakusan  mereka yang membuat tempahan tetapi berkesudahan tidak mengambil syiling tersebut.
 
**********************
Alhamdulillah, akhirnya setelah 2018 menyaksikan tiada langsung penerbitan syiling peringatan, 2019 menyaksikan muncul kembali pengeluaran syiling peringatan, berita yang sangat mengembirakan buat kelompok peminat tegar hobi ini. Setakat ini belum dikatahui tentang spesifikasi teknikal syiling, namun gambaran yang tersebar dalam media menunjukkan bahawa tiada lagi pengeluaran syiling berwarna sejak pertama kali muncul pada tahun 2013 untuk syiling perak. Penulisan ini akan bersambung insyaallah setelah syiling ini berada di tangan saya ....
 
**********************
Update 20 September 2019
 
Isu yang terdapat dalam keluaran syiling ini
 
Setiap kali ada keluaran syiling peringatan, maka setiap kali itulah muncul pelbagai kisah. Ada yang kisah nyata lagi berfakta, ada juga kisah yang sengaja diwujudkan oleh orang tertentu dengan niat kisah yang di jaja itu akan mendatangkan keuntungan wang ringgit kepada orang yang mula mereka-reka kisah tertentu. Dan untuk keluaran syiling ini, ada sahaja kisahnya... Bilangan pengumpul syiling peringatan tak ramai mana pun, bukannya sesuatu yang perlu ada dalam setiap rumah. Ada juga orang yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual balik pada harga tinggi, dan orang dengan niat seperti ini akan sentiasa wujud sehingga hari kiamat. Kaedah apa pun yang cuba digunakan oleh BNM, tetap ada pihak yang cuba manipulasi. Kadang-kadang rasa pelik dengan sebuah negara yang keluaran syiling peringatannya tak semeriah mana pun berbanding dengan negara lain, di tambah dengan peminat/pembeli/pengumpul/pemanipulasi yang tak sebanyak mana pun, tetapi kisah yang wujud pada setiap kali keluaran syiling seperti cukup ramuan manis masam pahit kelat.
 
Bayar dulu – tunggu keputusan dari BNM sama ada berjaya atau tidak – tidak berjaya maka wang akan dipulangkan – berjaya maka boleh datang ambil syiling yang ditempah. Kaedah terbaru yang dijalankan oleh BNM yang pada mulanya kelihatan agak terbaik walaupun ada juga yang kurang berpuas hati.
 
Terbaik kerana:
 
1. Mengelakkan “pembeli” menghantar begitu banyak nama/permohonan. Apabila keputusan keluar, “pembeli” boleh memilih sama ada mahu mengambil kesemua yang ditempah menerusi nama/permohonan ataupun mengambil mengikut keperluan dan sasaran mereka. Contohnya, A hantar 10 permohonan menggunakan 10 nama/kad pengenalan kawan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja. 10 permohonan itu berjaya, sekarang terpulang pada A sama ada mahu mengambil kesemua yang berjaya di mohon atau ambil 5-6 sahaja. A tidak rugi apa-apa pun kerana tidak perlu membayar apa-apa. Apa yang A lakukan pertamanya telah menafikan hak pengumpul lain yang sememangnya mahu membeli (satu tindakan keji dan hina), kedua menyusahkan BNM selaku penjual kerana stok syiling yang tidak diambil perlu menjalani proses pengagihan kepada pembeli yang gagal pada fasa pertama itu tadi. Dan situasi ini nyata terlihat pada keluaran sebelum ini terutamanya keluaran wang kertas peringatan sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
 
2. Sifir yang mudah - “pembeli” tempah dan bayar dahulu, Jika keputusan keluar dan “pembeli” tidak mahu mengambil syiling, maka kerugian akan ditanggung oleh “pembeli”.
 
Situasi ini berjalan dengan tenang sehinggalah 3-4 hari sebelum tarikh 17 September 2019 apabila pihak BNM mula memulangkan kembali wang kepada “pembeli” yang gagal. Maka riuhlah seketika dunia numismatik tanah air. Pelbagai senario muncul, antaranya:
 
1. Begitu ramai, anggaran saya hampir 95% permohonan untuk membeli syiling emas gagal untuk mendapatkan syiling. Kalau ikut logik akal dari segi bilangan tempaan cuma 300 keping “+” bilangan “pembeli” yang ingin membeli – sebenarnya cukup. Kenapa saya kata cukup, saya dah lama dalam hobi ini semestinya saya boleh agak bilangan “pembeli” yang sanggup beli syiling emas, tak ramai mana pun sebenarnya. Jumlah 300 keping itu sebenarnya jauh lebih cukup. Namun kenapa ramai yang gagal. Bila terlalu ramai yang gagal, maka muncul pelbagai desas-desus dan pelbagai kisah berkaitan dengan syiling emas tersebut, sama ada betul atau tidak, hanya BNM sahaja yang ketahui.
 
2. Sebagai manusia normal yang ada perasaan, kegagalan akan membawa kepada kekecewaan, kemarahan, kesedihan, geram, seterusnya menimbulkan rasa ketidakpuasan hati yang meluap-luap. Maka “pembeli” menterjemahkan kemarahan mereka dengan pelbagai dakwaan. Saya sendiri pernah rasa gagal membeli syiling perak untuk isu Arkib Negara dan terpaksa membeli di pasaran dengan harga yang lebih tinggi. Nak buat macam mana, sebagai pengumpul pastilah mahukan koleksi yang dinginkan berada dalam simpanan walaupun menahan perit kerana perlu mengeluarkan wang ringgit melebihi sepatutnya.
 
3. “Pembeli” yang gagal merasakan mereka teraniaya, tambahan lagi mereka sudah membayar dahulu / meletakkan wang dahulu, walaupun wang mereka dipulangkan, namun bila hati “pembeli” dalam kekecewaan, maka pelbagai kisah muncul. Bacaan saya pada media sosial –
• Ada yang marah kerana 10 permohonan semuanya gagal terutamanya pembelian syiling emas.
• Ada yang merasakan wang mereka di “rolling” oleh pihak BNM.
• Ada yang merasakan tempoh 14 hari untuk pulangkan wang terlalu lama (sebenarnya tak sampai 14 hari pun, tu jumlah maksimum tempoh) sedangkan transaksi pembelian tersebut sudah dimasukkan dalam penggunaan kad kredit.
• Ada yang tidak mahu lagi membeli syiling peringatan BNM untuk keluaran seterusnya jika kaedah seperti ini dijalankan.
 
4. Walaupun kaedah “bayar dahulu” pertama kali diadakan, kaedah ini sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa perubahan. Ramai “pembeli” tetap dengan perangai yang sama iaitu memohon dengan begitu banyak nama. Ada yang berasa untung kerana apa yang ingin dimiliki berjaya, namun ramai lagi “pembeli yang gagal.

 
**********************



 
Agak sentimental berada di ibu pejabat BNM. Kali terakhir berkampung di sini ialah pada tahun 2012 ketika syiling pertabalan agong dan juga wang kertas peringatan. Selepas itu lokasi beralih ke Sasana Kijang. Suasana pun agak sunyi, tada langsung kemeriahan seperti sebelum ini. Ketika mengambil syiling pun, cuma saya seorang sahaja yang berada, mungkin kerana baru hari pertama. Apa kenangan yang ada pun sekadar arah tuju kertas bersaiz A3 seperti foto diatas, tiada langsung poster atau gegantung.
 






 

 **********************



 
 







 

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam Belas pada 30 Julai 2019. Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, telah mempersembahkan duit syiling peringatan ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Julai 2019 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Tempahan untuk membeli syiling ini mula dibuka pada 19 Ogos 2019 mulai pukul 9.00 pagi hingga pukul 11 malam 23 Ogos 2019. Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 dan boleh diambil mulai tarikh 30 September 2019 hingga 11 Oktober 2019.
 
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 1,500 keping ditempa untuk set single.
 
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Nama rasmi baginda "AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH" tertera di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tarikh pertabalan dipaparkan di bahagian bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka melambangkan Baginda sebagai “payung yang menaungi” 14 buah negeri di Malaysia. Elemen ini dipaparkan di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
 
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan Jata Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI" tertera pada bahagian atas duit syiling, manakala nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, dipaparkan di bahagian bawah duit syiling bersama-sama nilai muka duit syiling yang berkenaan. Nilai muka duit syiling dipaparkan di bawah Jata Rasmi. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka dipaparkan di sekeliling duit syiling.
 
Tiada dalam blog ini
 
* Turut dikeluarkan ialah duit syiling peringatan emas (pruf) yang diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100. Sebanyak 300 keping ditempa.
 
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan pruf2 dalam 1 (set two in one) yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 1000 set.
 
* Jika melihat pada foto yang tersebar di media pada majlis mempersembahkan duit syiling peringatan ini pada 30 Julai 2019 kelihatan set syiling tempaan pruf 3 dalam 1 (set three in one) yang mengandungi duit syiling emas, perak, dan emas nordik. Namun set ini mungkin tidak dijual kepada orang ramai, mungkin untuk orang kenamaan.
 


Sabtu, 16 Disember 2017

Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV (2017)







Sumber: NST / BERNAMA




Sumber: Facebook

Sumber: BERNAMA




Sumber: Facebook

*******************************




 
Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas untuk tempoh lima tahun oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Mesyuarat Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2016. Baginda kemudiannya melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  pada 13 Disember 2016 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Upacara pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas telah berlangsung pada 24 April 2017.
Duit syiling peringatan ini dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad bin Ibrahim, FCB, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada 14 Disember 2017.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM300 dan akan dijual melalui lelongan awam pada harga rizab RM4,000 sekeping. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (mirip pruf)
Duit syiling berwarna mirip pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 92.0 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM150 dan harga jualannya RM1,000 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Tembaga (kemasan tanpa kilat)
Duit syiling kemasan tanpa kilat ini diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 77.76 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM15 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.\

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM11.00 sekeping. Sebanyak 15,000 keping ditempa.
Sebanyak 500 unit duit syiling set dua dalam satu yang berharga RM1,200 setiap set juga dikeluarkan. Set ini mengandungi sekeping duit syiling mirip pruf perak berwarna dan sekeping duit syiling tembaga kemasan tanpa kilat.
Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas sudah termasuk GST.
Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini.
Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
Bahagian Hadapan
Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV SULTAN MUHAMMAD V” tertera di sekeliling duit syiling manakala tarikh pertabalan dipaparkan di bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV.
Bahagian Belakang
Reka bentuk pada bahagian tengah duit syiling memaparkan jata rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV" dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka duit syiling tersebut.

*******************************
Pameran untuk Orang Ramai dan Tarikh Tempahan
Contoh duit syiling ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Khamis, 21 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna, satu duit syiling tembaga dan tiga duit syiling emas nordic). Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Duit syiling peringatan emas akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018. Maklumat lanjut tentang tempahan, lelongan, pembayaran dan pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan.
* Foto Pameran di Sasana Kijang Pada 21/12/2017






 

*******************************





 









Rabu, 13 Disember 2017

Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia (2017)







[Kiri-Kanan] Puan Yatimah binti Rimun, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan; Encik Thomas Tan Koon Peng, Pengarah, Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang, JPW; Datuk Azemi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia and Encik Ihsan bin Hj. Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan.
 Sumber: Laman Web Bank Negara Malaysia

 Sumber: Laman FB Rasmi Arkib Negara Malaysia


KUALA LUMPUR 04 DISEMBER 2017. Kakitangan Arkib Negara Malaysia, Adiba Rasyudah menunjukkan Wang Syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun Arkib Negara Malaysia Ke-60 di Arkib Negara Malaysia. Foto oleh KHAIRUL AZRY BIDIN.

 Sumber: BBXpress Images

KAKITANGAN ANM, Adiba Rasyidah menunjukkan wang syiling emas sempena Sambutan Ulang Tahun Arkib Negara Malaysia Ke-60 .

Sumber: My Metro




Desas-desus mengenai syiling ini telah lama kedengaran, sejak awal tahun lagi. Apabila syiling peringatan Industri Sawit dan Sukan SEA muncul, desas-desus penerbitan syiling ini tenggelam kerana banyak pengumpul syiling menjangkakan bahawa isu keluaran seterusnya adalah berkaitan dengan Pertabalan YDPA.

Melihatkan notis daripada BNM bertarikh 11/112016 tentang pertandingan mereka cipta syiling peringatan. Dinyatakan bahawa untuk 2017, BNM akan menerbitkan tiga keluaran (rujuk SS diatas yang bergaris merah). Bermakna keluaran ini merupakan keluaran syiling peringatan terakhir untuk tahun 2017. Namun, ramai termasuklah saya masih mengharapkan agar akan ada keluaran syiling Pertabalan YDPA.

************************************

Dalam siaran akhbar daripada BNM pada 04/12/207 berkenaan pengeluaran syiling ini, dinyatakan bahawa cara jualan hanya akan diumumkan pada siaran yang lain. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa untuk tiga keluaran syiling bagi tahun 2017, terdapat tiga kaedah cara belian yang dilaksanakan oleh BNM. Satu bentuk sejarah yang harus diabadikan untuk generasi pengumpul akan datang.

"... Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna dan tiga duit syiling emas nordic bagi setiap pembeli). Untuk memudahkan pembelian duit syiling peringatan ini, orang ramai boleh membuat tempahan melalui kemudahan tempahan dalam talian yang baharu. Maklumat lanjut tentang kemudahan tempahan dalam talian, tempahan dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan... "


************************************

Berkesempatan pada 17 Disember 2017 ke Sasana Kijang untuk melihat sendiri syiling yang dipamerkan. Syiling dipamerkan di Galeri Jualan.



************************************
 






************************************
 







Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Arkib Negara Malaysia.. Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz pada 04 Disember 2017 bertempat Arkib Negara Malaysia. Beliau menyatakan bahawa “Keluaran yang julung kali diadakan ini adalah cukup istimewa kerana selepas enam dekad, peranan ANM terus berkembang sejajar dengan keperluan semasa, aspirasi negara dan perkembangan teknologi dunia,”. Ditubuhkan pada tanggal 1 Disember 1957 dengan nama asal “Public Records Office” oleh Tuan Haji Mubin Shepprard dilantik sebagai Keeper of Public Records. Organisasi ini ditukar namanya kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963.
 
Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 500 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dipamerkan kepada orang mulai 12 Disember 2017 di kesemua lokasi jualan. Tempahan untuk membeli syiling ini mula dibuka pada 29 Disember 2017 hingga pukul 1 tengah hari 19 Januari 2018. Keputusan tempahan akan diumumkan pada 25 Januari 2018 dan boleh diambil mulai tarikh berkenaan sehingga 28 Februari 2018.
 
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan Perkataan “60th ANNIVERSARY OF NATIONAL ARCHIVES OF MALAYSIA” tertera di sekeliling duit syiling mengikut pusingan arah jam. Logo berwarna jingga keemasan yang dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling melambangkan sambutan ulang tahun Arkib Negara Malaysia yang ke-60.
 
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan logo Arkib Negara Malaysia yang terdiri daripada kepingan kertas yang disusun melambangkan dokumen-dokumen dan rekod kebangsaan pada bahagian tengah duit syiling. Bentuk bintang pada bahagian tengah logo pula berdasarkan bintang pada bendera Malaysia, yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia. Perkataan Arkib Negara Malaysia dalam tulisan rumi dan jawi di sekeliling logo menunjukkan tanggungjawab Arkib Negara Malaysia dalam menjaga dokumen-dokumen dan rekod negara. Enam puluh dentil pada sekeliling duit syiling menandakan 60 tahun penubuhan Arkib Negara Malaysia. Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.

************************************
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...