Selasa, 17 Mei 2016

Duit Syiling Peringatan Sempena dengan Ulang Tahun Yayasan Sabah ke-50 (2016)







 
*****************************************
 
Ketika saya tiba, adalah dalam lingkungan 30 orang yang telah berada lebih awal. Hujan yang membasahi bumi KL semenjak petang kembali renyai.

 
Tidak lama kemudian, bilangan pembeli semakin bertambah, menjelang tengah malam, dianggarkan sudah ada kira-kira 80-100 orang.
 


 
Dalam pukul 1.30 pagi, ketika saya sedang syok layan mp3 dalam kereta sambil berehat, secara tiba-tiba dengan semacam riuh, empat orang polis bantuan telah mengarahkan semua pembeli yang sebelum ini menjadikan rusuk kiri dan rusuk kanan berhadapan pintu utama sebagai tempat berkumpul agar segera meninggalkan kawasan tersebut, mungkin faktor keselamatan.
 


Ini menjadikan suasana berhampiran pintu utama menjadi sunyi, seperti foto yang dirakamkan. Ketika ini sehingga ke awal subuh, boleh dikatakan suasana gelandangan menghiasi pemandangan sekitar. Ada yang tidur di kaki lima, ada yang di atas tembok, ada yang atas rumput, ramai yang bergelimpangan. Tidak kurang juga ada yang masih segar berjaga sambil bersembang. Cuma malas nak merakamkan foto orang sedang tidur.
 
 



 
Gambar ini dirakamkan pada pukul 7 pagi. Dianggarkan hampir 180-200 orang pembeli sudah berada di Sasana Kijang untuk tujuan yang sama. Tiga keping foto ini cukup untuk menutup kata-kata seorang pengumpul  yang dengan begitu angkuh dan bongkaknya mendakwa bahawa konon-kononnya tema syiling seperti ini akan kurang mendapat sambutan hangat disebabkan faktor pengeluaran tema syiling yang bersifat dalaman (local issue) berbanding dengan isu pengeluaran bertemakan antarabangsa. Sebab sejak syiling RTM lagi, manusia yang berlagak ini sering membuat dakwaan bahawa syiling bertemakan Malaysia ini akan kurang mendapat perhatian. Itu pendapat dia ...
 
Tiga keping foto ini juga cukup untuk menutup kata-kata bahawa jika pengeluaran  dan penjualan syiling peringatan diadakan dalam tempoh yang singkat sebelum penjualan syiling peringatan sebelumnya, maka tidak ramai yang akan membelinya ...
 
Apa pun, masing-masing ada pendapat, ada yang suka ada yang tidak, sesuatu yang lumrah dalam apa-apa bidang sekalipun.  
 


 
Foto ini saya rakamkan pada pukul 8.58 pagi, 2 minit sebelum penjualan syiling bermula. Bermakna sudah ada 230 ++ orang pembeli. Terima kasih pada orang yang benarkan tangan dan nombor gilirannya diambil. Lupa nak tanya nama.
 


Gambar dari komen dalam FB Malaysia Coins Cards yang disumbangkan oleh En. Mohd Zaimi Ghazali

Selesai sahaja membeli, saya terus pulang kerana ada urusan lain. Bacaan seterusnya menerusi FB menunjukkan bahawa syiling  Single Silver telah habis pada pukul 10.25 pagi manakala Coin Card habis pada pukul 10.50 pagi. Dianggarkan cuma 130 kotak single silver sahaja yang dijual di Sasana Kijang.

Sahabat saya di Malaysia Coin mengumpulkan fakta dan dapatan kajian mereka seperti print screen dibawah, terima kasih juga pada sahabat-sahabat yang membeli di cawangan lain kerana sudi berkongsi gambaran. Fakta seperti ini akan menjadi "terlalu berharga" pada masa akan datang.


 *****************************************





 *****************************************





 

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Yayasan Sabah Ke-50. Yayasan tersebut telah diasaskan oleh Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun pada 10 Mei 1966 dengan matlamat untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi rakyat Sabah, terutamanya penduduk di kawasan luar bandar, melalui pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan pembangunan ekonomi. Duit syiling ini dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada 9 Mei 2016 di Auditorium Tun Raffae di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah.
 
Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 500 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dijual pada 16 Mei 2016. Sumber tidak rasmi memaklumkan bahawa penempaan syiling berwarna ini dilakukan oleh Singapore Mint. Buat pertama kali, Sijil Ketulenan syiling ini ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara yang baru dilantik, Datuk Muhammad Bin Ibrahim.
 
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej persekitaran Menara Tun Mustapha, yang juga dikenali sebagai Menara Yayasan Sabah pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini, serta perkataan “Ulang Tahun Ke-50” dan tahun “1966 - 2016” sebagai menandakan ulang tahun ke-50. Perkataan “YAYASAN SABAH” pula dipaparkan pada bahagian atas duit syiling.
 
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan logo rasmi Yayasan Sabah dipaparkan di tengah-tengah duit syiling peringatan ini. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling tertera pada bahagian bawah duit syiling ini.
 
 *****************************************
 

Tiada dalam blog ini
 
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan peruf 2 dalam 1 yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 2000 set.
 
Bank Negara Malaysia juga mengumumkan pemenang pertandingan reka cipta  syiling peringatan untuk isu ini. Tahniah.
 
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...