Sabtu, 16 Disember 2017

Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV (2017)







Sumber: NST / BERNAMA




Sumber: Facebook

Sumber: BERNAMA




Sumber: Facebook

*******************************




 
Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas untuk tempoh lima tahun oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Mesyuarat Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2016. Baginda kemudiannya melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  pada 13 Disember 2016 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Upacara pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima belas telah berlangsung pada 24 April 2017.
Duit syiling peringatan ini dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad bin Ibrahim, FCB, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada 14 Disember 2017.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM300 dan akan dijual melalui lelongan awam pada harga rizab RM4,000 sekeping. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (mirip pruf)
Duit syiling berwarna mirip pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 92.0 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM150 dan harga jualannya RM1,000 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Tembaga (kemasan tanpa kilat)
Duit syiling kemasan tanpa kilat ini diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 77.76 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM15 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.\

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM11.00 sekeping. Sebanyak 15,000 keping ditempa.
Sebanyak 500 unit duit syiling set dua dalam satu yang berharga RM1,200 setiap set juga dikeluarkan. Set ini mengandungi sekeping duit syiling mirip pruf perak berwarna dan sekeping duit syiling tembaga kemasan tanpa kilat.
Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas sudah termasuk GST.
Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini.
Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
Bahagian Hadapan
Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV SULTAN MUHAMMAD V” tertera di sekeliling duit syiling manakala tarikh pertabalan dipaparkan di bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV.
Bahagian Belakang
Reka bentuk pada bahagian tengah duit syiling memaparkan jata rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XV" dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka duit syiling tersebut.

*******************************
Pameran untuk Orang Ramai dan Tarikh Tempahan
Contoh duit syiling ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Khamis, 21 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna, satu duit syiling tembaga dan tiga duit syiling emas nordic). Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Duit syiling peringatan emas akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018. Maklumat lanjut tentang tempahan, lelongan, pembayaran dan pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan.
* Foto Pameran di Sasana Kijang Pada 21/12/2017






 

*******************************





 








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...