Rabu, 3 November 2021

Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun JPJ Ke-75 (2021)

 





Sumber Gambar: BERNAMA dan Sinar Harian

******




******






Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-75 pada 2 November 2021. Duit syiling peringatan yang dilancarkan oleh YBhg. Dato' Zailani Hj.Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, "Kami berbesar hati mengeluarkan duit syiling peringatan yang direka khas bagi memperingati ulang tahun JPJ yang ke-75. Reka bentuk ini menyingkap secara unik inti pati warisan dan sejarah kebanggaan JPJ. Duit syiling ini juga meraikan semangat dan komitmen JPJ terhadap keselamatan jalan raya di Malaysia."

Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 1000 keping ditempa untuk set single. Tempahan untuk syiling peringatan ini secara dalam talian dibuka mulai Isnin, 22 November 2021 (10.00 pagi) hingga Jumaat, 3 Disember 2021 (11.00 malam). Saya menerima syiling ini melalui Pos Malaysia Flexiprepaid pada 13 Januari 2022.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan tulisan "JABATAN PENGANGKUTAN JALAN" dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling. Imej pelekat cukai jalan dengan nombor plat JPJ 75 menyorot fungsi utama JPJ dalam mengawal selia pendaftaran dan pelesenan kenderaan motor. Imej stereng kenderaan dengan logo JPJ pada bahagian tengah duit syiling pula menggambarkan kawalan dan hala tuju agensi untuk terus mara ke hadapan.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan tulisan "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling. Logo rasmi sambutan JPJ75 dipaparkan pada bahagian tengah berlatarbelakangkan reka bentuk papan litar. Rekaan ini merupakan simbol hala tuju JPJ ke arah pemodenan dan pendigitalan. Slogan rasmi sambutan, iaitu "DIGITALISASI MELESTARI INTEGRITI" diletakkan di bawah logo sambutan, manakala nilai muka 10 RINGGIT tertera pada sisi bahagian bawah duit syiling.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...