Penerbitan duit syiling peringatan patut diberi pujian dan disokong penuh oleh semua pihak. Peristiwa penting walaupun tidak dapat dilakarkan sepenuhnya di dalam sekeping duit syiling, namun penerbitannya merupakan salah satu cara untuk kita mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab bersama dalam merangsang semangat cintakan budaya bangsa dan sokongan terhadap aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. Penerbitan duit syiling peringatan sememangnya akan mengayakan lagi koleksi numismatik tempatan. Yang lebih penting ialah penerbitan syiling peringatan mencerminkan keupayaan kita menghasilkan duit syiling yang bertaraf antarabangsa daripada segi mutu, nilai estetika dan reka bentuk, di samping mempamerkan Malaysia sebagai negara yang serba boleh dan berjaya.

Petikan ucapan ayahanda Dato Seri (sekarang Tun) Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Ke-4 pada 23/12/1999.

Wednesday, June 8, 2016

Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Ke-100 (2016)





Foto dari Sinar Harian
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun (dua kanan) berkenan melancarkan gimik duit syiling kenangan sempena Ulang Tahun ke 100 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPM 2015/2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), hari ini. - Foto Bernama

Foto dari Utusan Online
RAJA Permaisuri Agong , Tuanku Hajah Haminah berkenan melancarkan duit syiling kenangan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri sambil diperhatikan isteri Perdana Menteri , Datin Seri Rosmah Mansor (tiga dari kiri) dan Raja Puan Besar Perak , Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah (dua dari kanan) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini. UTUSAN/Safrizal Azmi

Selalu pukul 3 baru tutup, tapi kali ini pukul 2


*********************************************
  

Awal bicara, kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan, sama-samalah kita perbaiki diri sendiri. Berbelah bagi rasanya apabila jualan syiling peringatan dijalankan pada 1 Ramadan, ada yang molek dan ada juga yang kelihatan tidak begitu sesuai.
Tidak begitu sesuai kerana bukan sebab bulan Ramadan, tetapi tarikh 1 Ramadan itu sendiri. Rasanya belum ada mana-mana agensi sama ada kerajaan mahupun swasta yang mengadakan program pada 1 Ramadan apatah lagi jika program tersebut melibatkan khalayak awam. Tarikh 1 Ramadan juga yang jatuh pada hari Isnin dalam tempoh cuti persekolahan. Sudah pasti ada pengumpul yang pulang ke kampung untuk menyambut hari mantai dan awal puasa. Tidak adakah rasa sensitiviti dengan memilih tarikh seperti ini. Tidak bolehkah jualannya diawalkan ataupun dilewatkan selepas sambutan Aidilfitri. Bukan tidak pernah terjadi pelancaran dan tarikh jualan dilakukan dalam jarak selama sebulan, contohnya isu Hubungan Diplomatik Malaysia China. Adakah mereka tidak sedar bahawa ramai pengumpul yang beragama Islam membeli syiling mereka? Adakah ketika mereka memilih tarikh 6 Jun mereka terlepas pandang tarikh tersebut bersamaan dengan 1 Ramadan? Adakah mereka tidak sedar tarikh 1 Ramadan merupakan hari cuti bagi JDT dan BNM ada cawangan di sana? Adakah mulai tahun 2016, hari jualan syiling peringatan mesti diadakan pada hari Isnin? Hanya mereka yang tahu jawapannya.
Yang moleknya, kami tunjukkan kepada sahabat kami yang bukan Islam bahawasanya Ramadan bukan menjadi penghalang kepada aktiviti seharian. Ramadan bukan untuk kami mengeluh, mengadu kelihatan, merintih, dan sebagainya. Aktiviti seharian berjalan seperti biasa.

Semakin lama, semakin menggila permainannya. Jika dahulu mendengarkan senario mula beratur sejak awal pagi sudah menimbulkan rasa teruja. Sekarang jika beratur awal pagi, adalah lebih baik beratur sahaja lewat kerana sudah pasti koleksi yang jumlah tempaan kecil seperti single silver akan habis dibeli. Tiada gunanya datang pada awal pagi.

Oleh kerana pengeluaran syiling ini merupakan yang keempat dalam tahun ini dan pengeluaran isu-isu syiling sebelumnya dalam tempoh yang singkat, pastinya pembeli sudah membuat kajian dan sasaran untuk hadir ke Sasana Kijang pada pukul berapa? Contohnya jika dahulu datang pukul 3 pagi tetapi gagal membeli single silver, untuk akan datang, pasti pembeli tersebut akan datang lebih awal lagi, dan situasi ini akan berterusan...

Maka tidak hairan untuk isu ini, sekeluarga seramai empat orang hadir pada pukul 12 tengah hari sehari sebelum jualan menjadikan mereka sebagai kelompok pertama yang tiba. Jika syiling mula dijual pada jam 9 pagi, maka sekeluarga yang pertama ini beratur selama 21 jam. Jika ada keluaran syiling lagi untuk tahun ini, pasti akan ada pembeli yang akan tiba lebih awal lagi ataupun dalam radius waktu tersebut.

Menjelang maghrib sudah ada lebih kurang 50 orang dan sebelum jam 11 malam, sudah ada lebih kurang 150 orang. Sedangkan untuk isu sebelumnya, di kala maghrib cuma ada belasan orang sahaja, dan menjelang tengah malam baharu ada dalam 100 orang. Maka teori setiap pembeli akan cuba hadir lebih awal untuk isu seterusnya dipersembahkan untuk isu ini.

Seperkara lagi, betul ker beratur atau sekadar check in, tanya orang yang berada dihadapan "nombor" berapa? Katakanlah orang dihadapan memberitahu yang dia "bernombor 15" - ini bermaksud dia orang kelima belas yang tiba di Sasana, membawa maksud anda memiliki "nombor 16", selepas itu tunggu siapa pula tiba dan orang itu akan memiliki "nombor 17". Begitulah seterusnya ... tiada tulisan pada kertas atau sebagainya dalam pemberian nombor, cuma anda perlu ingat "nombor" yang diperoleh, ingat kan juga siapa yang berada dihadapan anda dan di belakang anda. Selepas itu terpulanglaaaaaaaaa ... nak tidur dalam kereta boleh, nak tidur kat tembok boleh, nak balik rumah tidur pun boleh, janji dalam pukul 6 pagi lebih kurang kena ada kat Sasana ....

Sebab itulah semakin lama semakin awal  yang hadir, sebab masing masing tahu bila dah dapat "nombor" maka boleh bebas. Dan pastinya bilangan orang upahan melebihi bilangan pengumpul ... dan yang mengeluh pastinya kami sebagai pengumpul kerana terpaksa bersaing dengan mereka.

Sekarang ini, terpulanglah pada BNM untuk mengatasi masalah datang awal ini, pandai pandai laaa mereka uruskan.



Kali ni nombor giliran bermula dengan 480, mungkin BNM mahu menghabiskan stok sedia ada, maka sambung sahaja nombor giliran tersebut.


Duduk dalam auditorium mini ini memang sesuatu yang amat amat membosankan, terlalu sunyi dan kebanyakan pembeli terutama yang beragama Islam mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sebentar termasuklah saya yang kekadang terlena sementara menunggu giliran. Patutnya BNM mainkanlah lagu-lagu raya untuk hilangkan bosan, apa salahnya main lagu raya pada hari pertama puasa, kan mereka suka buat benda yang orang lain tak pernah buat.



Detik yang ditunggu-tunggu oleh semua muncul apabila single silver habis dijual pada pukul 10.19 pagi. Anggaran cuma terdapat 93 set single silver sahaja yang dijual di Sasana Kijang. Dan kebanyakan set ini dimiliki oleh penjual yang pastinya akan menjual semula dengan harga yang berlipat kali ganda.


Tertera pada helaian resit yang memaparkan waktu 10.28 pagi, iaitu 10 minit selepas habisnya single silver dibeli. Kali ini seorang cuma boleh membeli 3 keping coin card sahaja membuatkan ramai yang sudah memilikinya kembali mengambil nombor giliran semula.

Ramai juga yang perasan yang akiviti jualan kali ini kelihatan agak perlahan, (buat lagi masa 1 Ramadan) ... selalunya proses jual beli berjalan dengan laju sejak sistem nombor giliran ini diadakan. Menjelang tengah hari, ramai yang mendakwa cuma satu kaunter jualan sahaja dibuka. Ada juga yang menyatakan aktiviti jualan berlangsung sehingga petang. Saya pula selepas membeli, terus pulang .. bosan duduk kat Sasana tu lama-lama, bukan boleh makan pun.

*********************************************






*********************************************
 







Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Ke-100. PPPM adalah komited untuk melahirkan golongan wanita yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai Pandu Puteri selari dengan visi PPPM untuk "menerajui perkembangan potensi gadis dan wanita untuk membawa perubahan."

Majlis pelancaran syiling peringatan ini disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 28 Mei 2016 selepas baginda merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPPM 2015/2016 yang turut dihadiri isteri perdana menteri yang juga Yang Dipertua PPPM, Datin Seri Rosmah Mansor di Langkawi International Convention Centre, Pulau Langkawi, Kedah. Majlis turut dihadiri Raja Puan Muda Perak yang juga Yang Dipertua PPPM Kedah, Dato Seri Diraja Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah, Tengku Puan Pahang yang juga Yang Dipertua PPPM Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar serta Ketua Pesuruhjaya PPPM, Normala Baharudin.

Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 500 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dijual pada 6 Jun 2016 bersamaan dengan 1 Ramadan 1437 Hijriah. Sumber tidak rasmi memaklumkan bahawa penempaan syiling berwarna ini dilakukan oleh Singapore Mint.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej simpul buku sila (reef knot) yang melambangkan persahabatan yang berkekalan dalam kalangan ahli Pandu Puteri di dalam dan luar negara, dan juga logo perayaan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun PPPM Ke-100 pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Imej tali yang mengelilingi bahagian tengah duit syiling ini melambangkan kekukuhan dan hubungan yang erat dalam organisasi ini. Perkataan PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tempoh tahun “1916-2016” diletakkan di bahagian bawah duit syiling ini.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan logo rasmi PPPM pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA pula dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling tertera di bahagian bawah duit syiling ini.
*********************************************










Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Ke-100. PPPM adalah komited untuk melahirkan golongan wanita yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai Pandu Puteri selari dengan visi PPPM untuk "menerajui perkembangan potensi gadis dan wanita untuk membawa perubahan."
Majlis pelancaran syiling peringatan ini disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 28 Mei 2016 selepas baginda merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPPM 2015/2016 yang turut dihadiri isteri perdana menteri yang juga Yang Dipertua PPPM, Datin Seri Rosmah Mansor di Langkawi International Convention Centre, Pulau Langkawi, Kedah. Majlis turut dihadiri Raja Puan Muda Perak yang juga Yang Dipertua PPPM Kedah, Dato Seri Diraja Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah, Tengku Puan Pahang yang juga Yang Dipertua PPPM Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar serta Ketua Pesuruhjaya PPPM, Normala Baharudin.
Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Manakala duit syiling emas nordik pruf diperbuat daripada logam Cu89 Zn5 AI5 Sn1 seberat 8.5 gram bernilai muka RM1. Sebanyak 2000 set ditempa untuk set 2 dalam 1. Syiling ini mula dijual pada 6 Jun 2016 bersamaan dengan 1 Ramadan 1437 Hijriah. Sumber tidak rasmi memaklumkan bahawa penempaan syiling berwarna ini dilakukan oleh Singapore Mint.
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej simpul buku sila (reef knot) yang melambangkan persahabatan yang berkekalan dalam kalangan ahli Pandu Puteri di dalam dan luar negara, dan juga logo perayaan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun PPPM Ke-100 pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Imej tali yang mengelilingi bahagian tengah duit syiling ini melambangkan kekukuhan dan hubungan yang erat dalam organisasi ini. Perkataan PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tempoh tahun “1916-2016” diletakkan di bahagian bawah duit syiling ini.
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan logo rasmi PPPM pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA pula dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling tertera di bahagian bawah duit syiling ini.


*********************************************
Bank Negara Malaysia juga mengumumkan pemenang pertandingan reka cipta syiling peringatan untuk isu ini. Tahniah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...