DUA
PULUH SATU HARI BULAN LIMA TAHUN DUA RIBU SEMBILAN ... blog ini muncul, dan
hari ini, genap LIMA TAHUN usianya, usia yang masih muda, masih tadika, masih
prasekolah. Tetapi “usia” blog sudah semakin tua. Pelbagai medium sosial lain
lahir selepas-selepasnya yang lebih mudah diakses, lebih user-friendly, blog semakin dilupakan....
biarkan.
Untuk
tulisan kali ini, julung-julung kalinya ingin dikongsi bagaimana blog ini
lahir... lahir secara tak sengaja, lahir tanpa perancangan. Saya berfikir 2-3
kali untuk menulis entri ini. Rasa segan dan malu pun ada sebab saya bukanlah
jenis orang yang suka bercerita tentang diri sendiri apatah lagi menulis untuk
tatapan secara umum. Tapi bila difikirkan kembali, tidak mengapalah dikongsi
sementara saya masih ingat bagaimana blog ini wujud dan juga peluang untuk saya
menjawab beberapa persoalan. Itu pun ada peristiwa yang dah ingat-lupa.
Mula
meminati koleksi numismatik pada pertengahan tahun 2006, tetapi awal tahun 2007
baru rancak perjalanannya. Capaian Internet
pada tahun 2006 dengan sekarang macam langit dengan bumi bezanya. Bukan dari
segi kelajuan yang dimaksudkan, tetapi kesukaran untuk mencari maklumat. Hendak
mencari dan membeli koleksi tidak tahu di mana? Numismatik tu bahasa apa? Flea
Market dekat Amcorp Mall tu apakebendanya? Apa itu UNC, EF, BU, VF... Proof tu
apa langsung tak tahu? Adakah rakan sebaya dalam hobi ini? Adakah ini hobi
untuk orang tua-tua? Adakah ini hobi orang kaya? Dalam zaman moden yang
pentingkan teknologi masih ada lagi kah hobi yang dikatakan klasik dan
tradisional seperti ini? Hobi ketinggalan zaman? Pelbagai persoalan bermain di
fikiran tambahan pula kesukaran untuk mencari maklumat menerusi Internet, nak taip
KEY WORD apa pun tak tahu, main redah ajer. Selalunya akan taip perkataan
SYILING LAMA, DUIT LAMA, DUIT KERTAS LAMA – itu sahajalah yang diketahui
sebagai permulaan.
Bergerak
bersendirian tanpa pengetahuan yang kukuh ada kalanya hadapi kesukaran untuk
mencari maklumat, ketika ini telah mula membeli koleksi dan tentunya koleksi
yang murah, yang harganya bawah sepuluh ringgit. Entah macam mana (ingat-lupa),
cari-cari dalam Internet akhirnya terjumpa bahawa akan diadakan satu pameran
numismatik di Atria, Damansara. Melalui pameran ini, akhirnya memiliki buku
yang pertama (gambar copy Google sebab buku yang sebenar telah HILANG). Bila
dah ada buku, senang sedikit untuk mengetahui senarai syiling peringatan yang
ada. Selepas pameran ini, mula tahu yang bahawasanya setiap minggu ada orang
jual duit-duit lama di Amcorp Mall. Hasil kunjungan pertama di pameran tersebut
mula mengenali beberapa orang dealer
terutamanya dealer tersohor kat Maju
Junction tu. Di Amcorp Mall, bersahabat dengan Mendiang Micheal, abang kepada dealer tersohor tersebut, pada dirinya
saya mula tahu serba sedikit apa itu syiling peringatan, syiling yang mana
susah dan yang mana senang untuk diperoleh.
Masa
terus berlalu, bila dah minat, mesti ada inisiatif untuk lebih memahami dan
mendalami, sedikit sebanyak mula tahu apa sebenarnya koleksi yang dinginkan,
mula mencari dan bertanya di mana boleh membelinya. Saya amat meminati DUIT
SYILING PERINGATAN sama ada dari negara kita atau luar negara (bezanya tak
larat luar negara kerana nilai mata wang kita yang rendah dan kos pos yang agak
tinggi), meminati syiling peringatan kerana rupanya yang berbeza dengan syiling
edaran yang membuatkannya unik. Bertanya
pada mereka yang lebih lama dalam hobi ini di mana boleh mendapatkan koleksi,
mengunjungi kedai-kedai numismatik, kerap ke flea market di Amcorp Mall. Kini, ada di antara mereka yang dahulunya
menjadi “kaunter pertanyaan” dan “sumber rujukan” masih sihat dan terus aktif,
ada yang dah meninggal dunia, ada yang dah bersara tanpa saya tahu penyebabnya.
Besar jasa-jasa mereka dalam membantu saya.
Faktor
kewangan merupakan kekangan utama, tidak molek juga kalau nak kata saya tidak
berduit (orang tua-tua marah kalau kita kata tak berduit, lebih elok disebut
“tak cukup duit”). Sekadar contoh bagi saya menghabiskan sekitar RM150 hingga RM200
untuk membeli sekeping duit syiling adalah “terlalu mahal” ketika itu. Saya
bermula dari bawah – bermula pada syiling peringatan lama yang tempaan/mintage sampai berjuta-juta tu yang
ketika tu harganya di bawah RM10, naik ke coin card / medallion card yang harga
cuma belas-belas ringgit – coin card paling mahal yang saya pernah beli adalah
coin card Shah Alam dengan harga RM60, naik kepada mengumpul syiling perak
tempaan peruf - untuk membeli syiling
peringatan perak untuk isu SONGKET yang dijual dengan harga RM200 – berfikir
2-3 kali sebelum membelinya, mungkin akan sampai masa ketikanya kalau ada
rezeki, harapnya berkemampuan untuk memiliki syiling peringatan yang diperbuat
daripada EMAS.
Bila
dah tahu sedikit-sebanyak dan dah ada sedikit barangan koleksi, normal bagi
mana-mana kolektor, mesti ada niat nak lengkapkan koleksi. Bohonglah kalau tak
ada niat macamtu, cuma faktor-faktor lain yang jadi penghalang. Masalah pada
saya ketika itu ialah kesukaran untuk melengkapkan koleksi coin card? Di mana ada dijual dan bagaimana rupanya Coin Card 45 Tahun Merdeka dan RMK-9 (duit
syiling yang belum saya miliki), yang ditunjukkan dalam buku katalog cuma rupa
duit syiling tu, bukannya rupa COIN CARD. Apa saiz coin card? Kadnya guna warna apa? Apa imej yang ada pada coin card tersebut? Tertanya-tanya tanpa
jawapan. Laman web Royal Mint Malaysia pada masa tu maaf cakaplah, nak “dikutuk”
pun tak sampai hati. Akhirnya timbul niat, kalau saya dapat memiliki mana-mana
syiling peringatan, ingin saya ambil fotonya lalu bubuh dalam internet,
sekurang-kurangnya pada masa akan datang jika ada orang mencari atau
tercari-cari, sudah diketahui macam mana rupa lengkap sesuatu syiling
peringatan tu (masa tu mana nak terfikir yang 3-4 thn akan datang akan wujudnya
FB, Instragram, Tweeter, Whatsapp dan sebagainya yang secara tak langsung
menyuburkan lagi hobi numismatik di negara ini). Jika ketika itu saya tahu akan
adanya medium seperti di kemudian hari, mungkin blog ini tidak akan wujud.
Ketika
ini, mula mengenali dan bersahabat dengan blogger seperti Mykoleksi, Din
Rambung, Azri Selama, Nazzery Perlis, Blurguys, Lucgnatic dan beberapa orang
lain (maaf, dah lupa). Ruangan chat dan komen pada blog mereka kadang kala menjadi
tempat pertanyaan ... TERIMA KASIH pada semua sahabat.
Masa
tu, telah pun diracun agar mempunyai blog sendiri terutamanya daripada sahabat
baik saya blogger Mykoleksi dan blogger Din Rambung. Maaflah, tak minat nak
berblog (anggapan saya ketika itu kalau ada blog mesti kena menulis, kena perah otak, dan saya
penat nak menulis dalam blog kerana salah satu tugas hakiki saya di pejabat
ialah MENULIS MAKALAH). Namun, niat tak pernah padam ialah nak tunjuk macam
mana rupa syiling tu lengkap dengan kotak luarnya dan kotak dalamnya, lengkap
dengan sijil perakuannya. Kalau coin card pula – macam mana rupa coin card tu
DEPAN – DALAM – BELAKANG, bukan sekadar gambar syiling seperti buku katalog. Dan
masa tu tak terfikir pun di kemudian hari akan adanya dakwaan nak
menunjuk-nunjuk dan tuduhan ini hanya muncul bila harga koleksi syiling
peringatan dah meningkat, sedangkan yang menuduh tu tidak pula mahu melihat
tarikh posting setiap item dan bandingkan harganya semasa itu. Adakah mereka
tahu harga pasaran ketika itu????
Akhirnya,
saya memuatkan foto-foto dalam FLICKR, kalau dilihat print screen yang saya buat, masih tertera di belah atasnya SINCE
NOVEMBER 2007. Tapi gambar-gambar dalam FLICKR tu dah banyak berubah, banyak
saya telah delete sebab telah dimuatkan
dalam blog ini.
Berterusan
saya muatkan gambar dalam FLICKR, rasanya hampir setahun lebih. Masalah mula
timbul apabila ingin memuatkan foto yang ke-201. Masa tu baru saya tahu bahawa
FLICKR cuma menyediakan ruangan untuk 200 foto sahaja secara percuma, nak lebih
kena BAYAR. Masatu mulalah mencari alternatif lain, dan mewujudkan blog
merupakan salah satu daripadanya. Namun, macam mana nak buat blog? Siapa nak
ajar? FB pula masih peringkat awal perluasan pengaruh, jadi masih belum ada
akaun FB.
Kebetulan,
ada seorang sahabat ini. Isterinya menjual kek secara online. Maka sahabat ini
membuat blog untuk memudahkan urusan jualan. Tanpa berlengah, saya meminta
bantuan tunjuk ajar daripadanya untuk membantu mengadakan blog ini. Melalui
dirinya.. akhirnya blog ini wujud. Beliau yang mengajar bagaimana itu ini... Terima Kasih banyak-banyak, hanya Allah yang
dapat balas budi baik tuan.
Tulisan
pertama sudah tentulah DUIT SYILING PERINGATAN PERTAMA di MALAYSIA. Gambar pun
guna gambar pinjam Raymond Maju Junction, nak beli sekeping syiling berharga seribu
lebih memang tak mampu. Jadi pergi kedainya, ambil gambar, dan masukkan dalam blog sebagai tulisan pertama.
Semua dilakukan sebab nak jugak-jugak muatkan syiling peringatan pertama
sebagai tulisan pertama.
Manusia
mudah lupa diri, ada kalanya tersasar, ada kalanya terlajak. Masa mula-mula
blog ini muncul, memang ghairah, memang bersemangat, memang inzal sampai menggeletar nak berkongsi foto
dan menulis. Ada kalanya tersasar daripada matlamat asal yang sebenar. Penulisan
dengan gaya perbincangan, isu-isu panas tertentu, kontroversi, spekulasi ada
kalanya di tulis dan di ulas juga sekali-sekala dalam blog ini walaupun tak
kerap dan tak banyak mana. Mujur sempat sedar, sempat untuk berpatah balik,
sempat untuk menginsafi.
Hampir
40% kandungan blog ini akhirnya telah saya DELETE terutamanya koleksi
numismatik tetapi yang tidak berkaitan dengan syiling peringatan dan koleksi
sewaktu dengannya, hampir kesemua tulisan tertentu yang dikekalkan telah DI
EDIT semula. Ruangan KOMEN saya tutup. Tiada tulisan bernada ULASAN atau
PENDAPAT, hanya fakta semata-mata, kalau ada pun sangat sedikit. Macam mana
ditulis dalam laman web rasmi BNM dan laman web tertentu yang OFFICIAL
berkaitan dengan syiling peringatan yang dikeluarkan, begitulah di COPY &
PASTE dalam blog ini, saya cuma ubah ayat tertentu asalkan fakta dan maksudnya
sama. Sebab itu blog ini kelihatan sepi dan tiada pengunjung yang ramai, saya
tahu orang suka membaca sesuatu berbentuk penceritaan sedangkan ayat dalam ini lesu
tidak bermaya, sama sahaja macam dalam laman web BNM. Stail ini akan diteruskan.
Pernah
cuba bermain dengan koleksi BANKNOTE. Dapatlah juga kumpul puluhan helai wang
kertas Malaysia. Namun tiada keserasian. Akhirnya kesemua koleksi wang kertas
tersebut telah menjadi milik sah orang lain. Pengetahuan mengenai banknote juga
semakin lama semakin luput dari ingatan. Sekarang jika membelek album banknote milik
sahabat pun tak ada rasa apa-apa perasaan ghairah walaupun item yang dibelek
itu menjadi idaman kebanyakan pengumpul BANKNOTE yang lain.
Kembali
pada niat asal, blog ini wujud cuma dengan SATU NIAT, niat ingin berkongsi
sesuatu yang bersifat “SYILING PERINGATAN” – bagaimana rupa coin card depan
dalam belakang, bagaimana rupa kotak syiling proof terutamanya perak (tak mampu
memiliki emas), spesifikasinya, apa yang ditulis pada sijil perakuannya dan
bagaimana rupa sijil perakuannya/COA, keterangan daripada BNM, bukan
cabang-cabang numismatik lain yang saya kurang mahir, jauh sekali untuk
berbicara isu-isu yang berlegar dalam dunia numismatik. Sebab itu proses EDIT
dan DELETE dijalankan.
Kebanyakan gambar dalam blog ini diambil menggunakan kamera compaq ini
Lagipun,
jika menulis sesuatu yang bersifat perbincangan / ulasan / analisis dan
sebagainya kena bersedia dan bertanggungjawab atas apa yang kita tulis. Apa
yang kita tulis dan sampaikan merupakan pendirian kita. Saya sering menghadiri
seminar/kursus yang berkaitan dengan penulisan dan karya. Ilmu yang saya
peroleh bahawasanya jika kita meletakkan diri kita sebagai penulis, bila
dipaparkan (publish) sahaja hasil
penulisan, maka hasil penulisan itu bukan lagi “hak milik mutlak penulis”,
tetapi terpulang kepada pembaca untuk mentafsirkannya malahan
mengkontroversikannya jika pembaca itu mengehendakinya, dan penulis pula kena bersedia menerima maklum
balas positif negatif tentang apa yang ditulis. Dan saya “malas” untuk menerima
maklum balas atau bersembang panjang atas apa yang saya tulis. Sebab bagi saya
benda nie sekadar hobi... sekadar apa yang kita minat, bukan sebahagian
daripada kehidupan .. bukan 24/7 .. 365 hari dalam setahun nak bercakap fasal
numismatik. Malahan ramai rakan-rakan karib dan ahli keluarga saya sendiri yang
tidak tahu pun mengenai hobi saya. Banyak lagi benda yang syok ada di dunia ini
selain asyik nak bercakap fasal numismatik.
Nak
bercerita fasal cabang-cabang numismatik lain memang saya tak tahu. Saya pernah
dapat duit baki bayar tol syiling 50 sen tahun 67/68/69 (dah lupa tahun nya).
Saya terpaksa SMS seorang sahabat iaitu blogger Din Rambung sebab nak tanya
yang ada value sama ada berparit atau
bergerigi. Sahabat saya yang aktif menulis dalam web Malaysia Coin / Lucgnatig
tu pun terkejut bila tahu yang saya cuma tahu fasal syiling peringatan sahaja,
syiling lain tak tahu sebab tak minat dan tak kumpul. Kalau ditanya saya apa
itu V1, V2 langsung saya tahu apatah lagi kalau ditanya fasal “DOT”, “Error” dan
sebagainya. Pernah saya meminjam buku katalog KN Boon daripada blogger
Mykoleksi sebab sajer-sajer nak tengok duit lain (item numismatik lain). Bila
minum-minum dengan sahabat-sahabat numismatik, selalunya saya akan kurang
bercakap, nak bercakap apa pun tak tahu sebab selalunya yang dibincangkan fasal
banknote atau syiling edaran. Kalau yang basic
numismatik tu pun saya tak berapa tahu, apatah lagi kalau masuk bab numismatik
zaman kesultanan, zaman penjajah, syiling error, penggredan PMG NCG, kupon
loteri nombor itu ini prefix itu ini dan sebagainya, lagilah saya tak tahu.
Diminta
berkongsi ilmu? Ada yang kata kedekut ilmu? Bila saya ajukan kembali apa ilmu
yang perlu saya kongsikan? – Orang yang bertanya itu pun tak tahu nak tanya apa
sebenarnya, main serkap jarang???? Bukan kah saya dah COPY & PASTE keterangan
mengenai syiling tersebut????
Pembacaan
dan pemahaman saya lalu saya tafsirkan bahawa secara umum HOBI terbahagi kepada
DUA JENIS. Pertama, hobi yang hasilnya atau perkhidmatannya diperbuat sendiri
oleh empunya badan, contohnya hobi buat kek, buat kraf tangan, hobi menjahit,
hobi penjagaan kereta... dan sebagainya. Hobi seperti ini bolehlah dikongsi
ilmunya secara nyata, dibuatkan tutorial macam mana kaedahnya daripada A hingga
ke Z.
Kedua,
hobi di mana empunya badan beli sesuatu barangan lalu disimpan sebagai koleksi
seperti hobi ini. Jadi, saya sendiri tidak tahu ilmu apa yang ingin saya
kongsikan? Ilmu membeli???? Ada duit beli sahajalah!!!! Ada duit barang tak der
dijual??? Apa kena mengena duit anda dengan tiada barang yang dijual, bukan
tanggungjawab saya kalau barang tu tidak dijual!!!!! Nak tunjuk macam mana
syiling di buat???? Mana saya tahu bagaimana ia dibuat, pergilah tanya kat
google!!!!!!! Nak cerita fasal spekulasi... bukan saya yang buat spekulasi, tak
tahu apa-apa, tiba-tiba tak kanlah saya nak memandai-mandai menulis tentang
spekulasi atau isu panas dan sensasi. Tidak dinafikan, dalam kategori jenis
hobi seperti ini ada sedikit sebanyak ilmu yang boleh dikongsikan dan
disebarkan, Tetapi sebelum dikongsikan, penulis mesti ada pengetahuan dan
pengalaman yang luas. Sebab itu saya cuma mampu kongsikan cara saya menyimpan
koleksi syiling atau aksesori yang berkaitan, itu sahajalah yang mampu saya
kongsikan. Bagi saya – BELI – SIMPAN – HABIS CERITA. Orang lain yang membeli syiling
peringatan dari BNM ker, dari dealer
ker, beli secara online ker, dapat harga murah ker, terpaksa beli dgn harga
yang tinggi ker, lepastu tu nak menjual semula ke? Nak buat pelaburan ker? Nak
diwariskan kepada anak cucu cicit ker? Bukan urusan saya.
MARKET
PRICE!!!!! Maaflah saya bukan peniaga atau dealer,
saya menjual bila perlu sahaja dan atas sebab tertentu sahaja bukan sentiasa
menjalankan urusan jual beli, jadi macam mana saya hendak letak harga!!! Adalah
tidak adil saya mengesyorkan harga barangan yang bukan saya hendak jual.
Lagipun jual beli terlalu subjektif, harga berubah-ubah, hakikat utamanya bergantung
pada persetujuan penjual-pembeli, tiada harga tepat. Dalam blog ini saya tidak
pernah letak pun harga pasaran/harga bersesuaian. Harga asal belian dari BNM
pun saya tidak pernah bubuh. Namun, selalunya jika ada yang bertanya tentang
harga, selalunya saya akan memberikan maklum balas sekadar yang saya tahu, jika
saya tidak mengetahui pun saya akan rujuk pada sahabat lain atau menelaah di
Mudah atau Ebay sebelum memberikan maklum balas.
Ada
ketikanya saya tahu juga tentang urusan jualan beli syiling peringatan;
Contohnya “si A” beli syiling peringatan dengan harga DUA JUTA RINGGIT, perlu
ker saya war-warkan dalam ini tentang syiling peringatan yang telah terjual
pada harga dua juta tu. Bukankah tindakan saya akan kembali menyusahkan saya
jika pelbagai pertanyaan akan menyusul kemudian tentang apa yang saya tulis. Orang
yang membeli tu tak menyusahkan saya tetapi mengapa pula saya yang
mengada-ngada nak menyusahkan diri sendiri. Tanya secara jujur pada diri
sendiri, jika kita yang jadi “si A” tu, adakah kita suka urusan belian-jualan
kita tu menjadi bualan orang lain??????
Sebab
itu saya tidak ulas apa-apa dalam blog ini. Cerita sensasi dan spekulasi lebih
baik disembangkan atas meja kedai mamak, ada teh aisnya, ada sekotak rokok,
sebab sembang-sembang kedai kopi nie, habis di situ sahaja, kalau diingatkan
pun cuma 2-3 hari sahaja, lepastu cerita akan senyap. Berbanding jika menulis,
sudah tentu akan diarkibkan, akan dicari, akan bincangkan kemudian. Jika ia
berlaku, yang penting sumbernya bukan dari blog ini.
Diminta
mengulas DESIGN / REKA CIPTA syiling. Memang ada niat kononnya/contohnya jika
syiling gambar kereta api dari negara kita - ingin saya bandingkan dengan
syiling kereta api dari luar negara. Bila difikirkan balik, apa faedahnya jika
saya berbuat demikian selain seperti ingin memburuk-burukkan maruah negara? BNM
pula nak ker dengar pendapat golongan kolektor, mahu ker mereka berbincang
tentang design, tentang apa isu yang sepatutnya dikeluarkan dan sebagainya!!!???
Nak beli syiling peringatan pun sekarang seperti “pengemis beratur mendapatkan
sekeping roti”??? Pedulikanlah semua itu, yang saya tahu dan akan lakukan,
keluar syiling peringatan – SAYA TETAP BELI tak kira macam mana BURUK atau
CANTIK pun kualiti design, macam mana letihnya berjam-jam beratur (itu pun
belum tentu dapat beli jika dah SOLD OUT) – semuanya akan terus dilalui sebab
dah minat.
MAAF,
saya juga manusia, ada perasaan, ada pendirian, berhak untuk meluahkan benda
yang terbuku di hati. Mungkin tulisan panjang lebar seperti ini hanya akan muncul 5 tahun akan datang. Saya buat apa yang saya rasa perlu. Saya tidak pernah nak
ambil tahu pun urusan orang lain dan saya pun tak suka orang lain ambil tahu
urusan saya.
Kesempatan
ini saya mengucapkan TERIMA KASIH tidak terhingga kepada semua yang melawat
blog yang tidak seberapa ini. TERIMA KASIH kepada sahabat yang berkongsi foto
koleksi mereka untuk dimuatkan dalam blog ini. Blog ini akan terus hambar dan
lesu dengan cara yang saya fikirkan sesuai.