Rabu, 12 September 2012

Menyimpan Koleksi Syiling Peruf / Storage My Proof Coin

Tulisan ini terhasil apabila ramai sahabat-sahabat seangkatan yang menanyakan bagaimana untuk menyimpan koleksi syiling peringatan terutamanya koleksi syiling silver. Kadangkala penat juga untuk menerangkan satu-persatu, dah lah cara yang saya gunakan agak berlainan daripada orang lain, nak terangkan satu-persatu tentu melecehkan. Jadi saya huraikan sahaja disini lengkap dengan gambar agar boleh dijadikan rujukan dan panduan, bukan semestinya perlu dipatuhi.

Saya seringkali menjawab bahawasanya untuk koleksi proof, terdapat 3 pecahan utama iaitu syiling itu sendiri, box atau kotak syiling, dan sijil perakuan/cert. Dan ketiga-tiga ini saya simpan secara berasingan.

Untuk sijil perakuan / cert, saya masukkan ke dalam plastik yang digunakan sama untuk menyimpan banknote ataupun setem lembaran mini. Cert ini kalau tak dijaga dengan betul, boleh "kuning", lebam, kotor. Kalau rujuk dalam gambar yang saya ambil, terdapat sesetengah cert yang kelihatan agak cerah, ada yang kelihatan agak tebal kuningnya. Sebenarnya, memang warna asal cert tersebut sebegitu rupa.

Untuk kotak/box syiling, sekurang-kurangnya setahun sekali saya gunakan berus gigi untuk membersihkan habuk-habuk kecil yang melekat terutamanya pada bahagian dalam kotak tersebut. Bahagian luar kotak juga perlu diberus.


Setelah selesai urusan membersihkan kotak/box tersebut, box tersebut saya bungkus dengan plastik seperti gambar dibawah, Ada bermacam-macam jenis plastik, tapi saya lebih selesa gunakan plastik jenis ini disebabkan plastik jenis ini mudah dikeronyot. Saiznya besar sedikit daripada plastik untuk menyimpan First Day Cover.
  Gambaran beberapa buah kotak/box yang sudah dibungkus.

Untuk menyimpan kotak-kotak ini pula, sayaku gunakan bekas seperti gambar dibawah. Tak pastilah diperbuat daripada material apa. Bekas ini saya beli di IKEA. Jika kena cara susunannya, sebuah bekas seperti ini boleh memuatkan 15 buah kotak syiling.

Gambaran bekas apabila sudah ditutup.

Untuk menyimpan syiling, saya menggunakan coin tube seperti gambar dibawah. Ada pelbagai jenis coin tube dan pelbagai jenis saiz. Agak sukar untuk membeli coin tube yang sepadan dengan saiz syiling peringatan Malaysia, akhirnya jumpa juga dalam ebay. Boleh dikatakan hampir 90% syiling perak (silver proof) keluaran BNM mulai tahun 1999 keatas mempunyai ukuran diameter 35.7 mm dan apabila dimuatkan dalam coin capsule /coin airtite, saiz diameternya menjadi 41mm. Maka saya gunakan Coin Tube saiz 41mm untuk memuatkan syiling ini. Coin tube yang saya gunakan ini asalnya untuk menyimpan American Silver Eagle kerana saiz American Silver Eagle ialah 41mm. Bagusnya coin tube yang saya gunakan ini ialah setiap coin tube boleh memuatkan cantik ngam-ngam 10 keping syiling. Jangan sesekali gunakan coin tube yang lebih besar kerana airtite akan berlaga seterusnya mencalarkan artite. Jika gunakan saiz yang sepadan seperti ini, maka airtite tidak akan sesekali berlaga.

Gambaran coin tube yang ditutup. Antara kelebihan bila menggunakan coin tube ini ialah jika simpan dirumah, mudah disorokkan dan jika menggunakan khidmat safety box, tidak memerlukan penyewaan ruang yang besar. Coin tube yang telah tertutup ini lebih bagus jika di selefon tape untuk menghalang habuk-habuk kecil, debu, daripada memasuki tube. Syiling peringatan dikeluarkan sebagai barangan koleksi dan kalau dah nama koleksi, harus disimpan, bukan dipegang, dibelek sana sini, bukan untuk dibawa tidur dan sebagainya ... .

Rujuk kembali gambar bekas yang digunakan untuk menyimpan kotak/box syiling. WAJIB untuk dibubuh silica gel ini untuk menyerap kelembapan. Tak tahu mana ada dijual benda ini sebab saya dapat free melalui kotak kasut. Sering juga saya pesan pada rakan-rakan perempuan (perempuan kan suka beli kasut) kalau mereka beli kasut, jangan dibuang benda ini. Untuk setiap kotak, selalunya saya bubuh 5-6 paket.

Di kawasan anda menyimpan koleksi, tidak kiralah apa koleksi sekalipun, jangan sesekali dilupakan produk anti kelembapan ini. Selalunya sebekas produk ini tahan lebih kurang sebulan, tak kan beli barangan sampai empat lima angka boleh, tapi nak beli benda yang tak sampai RM10 ini nak berkira.

Cara yang saya gunakan nampak susah, tapi inilah cara terbaik akhirnya setelah macam-macam eksperimen yang buat setelah belajar melalui pengalaman sendiri selain bertanya pada otai-otai lain. Cara yang saya gunakan ini sesuai jika mahu menyimpan koleksi untuk satu tempoh yang lama. Jika menyimpan koleksi syiling peringatan sebulan dua sebelum mahu dijual, cara ini agak tidak bersesuaian dan berbaloi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...