Jumaat, 16 Ogos 2024

Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (2024)

 




Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 1 Julai 2024.

Duit syiling ini telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail Majlis Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara pada 25 Oktober 2023 di Putrajaya.

Melangkah ke 75 tahun usia penubuhannya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus komited dalam memastikan pengurusan identiti penduduk Malaysia akan terus dilindungi dan diurus dengan penuh integriti, cekap dan efisien. Seiring dengan era globalisasi, dan untuk kekal relevan JPN tidak dapat tidak perlu melaksanakan transformasi perkhidmatan ke arah pendigitalan. Justeru, terkini JPN telah memperkenalkan dua perkhidmatan dalam talian, iaitu Sistem Semakan Status Permohonan Kewarganegaraan (SSPK) dan Sistem Semakan Permohonan Pelepasan Warganegara (SSPP).

Tempahan untuk syiling peringatan ini secara dalam talian dibuka mulai 11:00 pagi Isnin, 1 Julai 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 14 Julai 2024. Saya menerima syiling ini melalui Pos Malaysia pada 15 Ogos 2024.

************






Bahagian hadapan duit syiling emas nordic ini memaparkan teks “JABATAN PENDAFTARAN NEGARA” manakala sekeliling bahagian bawah memaparkan teks “JUBLI INTAN”. Reka bentuk ini diilhamkan oleh aspirasi pemodenan dan inisiatif transformasi digital JPN. Reka bentuk ini turut memaparkan imej cap jari yang dikelilingi oleh pelbagai ikon yang melambangkan peranan utama JPN dalam menguruskan rekod kelahiran, pengenalan, perkahwinan, kewarganegaraan dan kematian.

Reka bentuk sebelah belakang duit syiling emas nordic ini memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik, dengan logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada sebelah kanan. Teks “1 RINGGIT” ditunjukkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya, berlatarbelakangkan bayang olahan MyKad (kad pengenalan).
 
********








Duit syiling berbentuk segi empat tepat yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 32.7 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM330 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa untuk set single silver.

Bahagian hadapan duit syiling memaparkan teks “JUBLI INTAN”, menandakan ulang tahun ke-75 JPN. Bahagian kiri duit syiling memaparkan bayang warganegara Malaysia mengikut pelbagai peringkat umur, yang melambangkan fungsi utama JPN dalam pendaftaran peristiwa penting individu. Olahan imej folder pada bahagian kanan duit syiling menggambarkan kepelbagaian rekod pendaftaran yang dikendalikan oleh JPN sebagai agensi utama pengurusan rekod penduduk negara ini sejak tahun 1948. Diilhamkan oleh transformasi digitalnya yang selaras dengan Pelan Identiti Digital Nasional 2020, olahan bentuk iris melambangkan inisiatif pendigitalan terkini JPN.

Reka bentuk sebelah belakang duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik. Logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada bahagian kanan syiling, berserta olahan gambaran cap jari pada bahagian kiri. Teks “10 RINGGIT” dipaparkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...