Isnin, 14 November 2022

Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur (2022)





Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan duit syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama yang bertemakan Sambutan Jubli Emas bandar raya Kuala Lumpur pada 05 Julai 2022 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Turut sama hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Penolong Gabenor BNM, Abdul Rahman Abu Bakar dan Ketua Jabatan Perancangan Korporat dan Antarabangsa Pos Malaysia, Azahar Ariff. 

Jelas Shahidan, penghasilan syiling peringatan yang melibatkan Kuala Lumpur dan DBKL pernah dibuat sebelum ini. “Pada tahun 1972 misalnya, syiling peringatan, setem kenang- kenangan serta sampul surat hari pertama dikeluarkan sempena pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya. Manakala pada tahun 1990, syiling peringatan dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan,” katanya. Tambah Shahidan, beliau berharap melalui penerbitan duit syiling peringatan, setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama ini dapat dijadikan tanda kenangan yang cukup bermakna serta menjadi gambaran kepada kepesatan pembangunan yang dilalui oleh Kuala Lumpur sepanjang lima dekad lalu. 



Setem Keluaran Pos Malaysia yang dijual pada 7 Julai 2022.

********




Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Bandar Raya Kuala Lumpur yang ke-50 (KL50) pada 14 November 2022. Tempahan untuk membeli koleksi syiling ini bermula pada pukul 11.00 pagi hari Isnin, 14 November 2022 hingga 11.00 malam Ahad, 27 November 2022

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) Duit syiling ini mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa. 

Bahagian hadapan duit syiling memaparkan latar langit Kuala Lumpur dan pengangkutan moden yang digandingkan dengan muka jam Bangunan Sultan Abdul Samad. Paparan ini melambangkan peredaran zaman sejak Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada tahun 1972 dan telah menyaksikan kemajuan dan perkembangan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden. 

Bahagian belakang pula memaparkan nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, berserta logo rasmi KL50 (logo berwarna hanya terdapat pada duit syiling perak sterling). Bangunan Istana Budaya dan elemen daripada Taman Tasik Perdana juga dipaparkan bagi melambangkan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan dan bandar lestari. Nilai muka “10 RINGGIT” dan “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling”.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...