Jumaat, 29 Oktober 2021

Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun PERKESO Ke-50 (2021)




Sumber Gambar: The Star & M Star Online

******

PERKESO dengan kerjasama POS MALAYSIA turut menerbitkan SETEMKU yang premium dan ekslusif







******





*****






Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Ke-50 pada 28 Oktober 2021. Duit syiling peringatan yang dilancarkan oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia Malaysia.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO telah berubah kepada sebuah Badan Berkanun dan mulai 1 Januari 1992, PERKESO telah melaksanakan sistem saraannya sendiri iaitu Sistem Saraan Baru PERKESO.

Konsep Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO adalah berteraskan konsep tanggungjawab bersama menerusi sumber terkumpul, perkongsian risiko dan penggantian pendapatan (pooling of resources, sharing of risk and replacement of income). Perlindungan keselamatan sosial adalah asas yang perlu dipenuhi sebagaimana yang dipersetujui di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 iaitu Konvensyen 102; Minimum Standard for Social Security. Dalam memenuhi matlamat tersebut, fungsi utama PERKESO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.

Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 1000 keping ditempa untuk set single. Tempahan untuk syiling peringatan ini secara dalam talian dibuka mulai Isnin, 22 November 2021 (10.00 pagi) hingga Jumaat, 3 Disember 2021 (11.00 malam). Saya menerima syiling ini melalui Pos Malaysia Flexiprepaid pada 13 Januari 2022.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan tulisan “SAMBUTAN JUBLI EMAS PERKESO” dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling, manakala tema sambutan “PRIHATIN LIMA DEKAD DAN SELAMANYA” pula dipaparkan pada sisi bahagian bawahnya. Bahagian tengah duit syiling memaparkan imej payung terbuka dari pandangan atas dengan 50 figura monogram yang diolah daripada logo rasmi PERKESO, yang melambangkan 50 tahun sumbangan PERKESO dalam memberikan perlindungan kepada rakyat.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling, disusuli oleh logo rasmi sambutan PERKESO50 pada bahagian tengah dengan latar belakang reka bentuk gelombang tiga dimensi. Nilai muka 10 RINGGIT dipaparkan pada sisi bahagian bawah duit syiling.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...