Sumber video: Youtube Bernama WebTV
Sumber video: Youtube beritanasionalrtm rasmi
Majalah3 pada 29 Julai 2019 ada memaparkan Proses Pembuatan Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sumber video: Majalah Tiga dan dimuatnaik ke Youtube oleh Malaysia Coin
**********************
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan syiling khas daripada Bank Negara Malaysia.
Syiling khas yang dikeluarkan bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai itu dipersembahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus di Istana Negara hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Operasi Mata Wang BNM Azman Mat Ali, sebanyak tiga jenis syiling khas iaiatu emas, perak dan emas nodik dipersembahkan kepada Seri Paduka. "Ketiga-tiga syiling khas ini diukir dengan potret Yang di-Pertuan Agong pada bahagian hadapan syiling dan di sebelah belakang diukir lambang jata negara.
"Syiling ini diukir dengan teliti oleh pereka khas yang berkemahiran dan dikeluarkan oleh kilang wang BNM sendiri," katanya ketika ditemui Bernama dan RTM selepas persembahan syiling berkenaan.
Azman berkata hanya 300 keping syiling emas akan dikeluarkan, perak (1,500 keping) dan emas nodik (15,000 keping).
Tempahan syiling pula hanya boleh dibuat melalui laman web rasmi BNM bermula pertengahan Ogos. -Bernama
**********************
**********************
Ketiga-tiga syiling khas yang dikeluarkan BNM sempena Istiadat Pertabalan itu diukir dengan potret Yang di-Pertuan Agong pada bahagian hadapan syiling dan di sebelah belakang diukir lambang jata negara. --foto BERNAMA
Sumber: Astro Awani
**********************
Sumber: FB Bank Negara Malaysia
Update 19 Ogos 2019
Bank Negara Malaysia telah memuatnaik maklumat mengenai tempahan, kaedah bayaran dan juga pengambilan syiling ini melalui laman web mereka. KLIK SINI
Secara ringkas:
- Tempahan secara online dibuka mulai 19 Ogos 2019 (9.00 pagi) hingga 23 Ogos 2019 (11.00 malam). Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan untuk menentukan tempahan yang berjaya akan dibuat.
- Setiap orang hanya boleh menempah sekeping syiling emas peruf, sekeping syiling perak peruf, tiga keping emas nordik, dan satu set dua dalam satu (perak peruf dan emas nordik peruf)
- Semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) dengan menggunakan kad kredit / kad debit atau kemudahan perbankan dalam talian. Bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan. Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan
- Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019.
- Pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan yang ditempah antara 30 September hingga 11 Oktober 2019 di lokasi pengambilan yang mereka pilih semasa membuat tempahan. Pengambilan boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa
Sama kaedahnya seperti pembelian syiling peringatan mulai tahun 2017. Bezanya kali ini pembayaran dilakukan dahulu, satu sejarah baru dalam dunia pengumpulan hobi ini. Bagi golongan pengumpul seperti saya dan rakan-rakan, tiada sebarang masalah kerana sememangnya kami mahukan syiling ini, sebab ada di antara kami termasuklah saya pernah gagal memiliki syiling akibat ketamakkan dan kerakusan mereka yang membuat tempahan tetapi berkesudahan tidak mengambil syiling tersebut.
**********************
Alhamdulillah, akhirnya setelah 2018 menyaksikan tiada langsung penerbitan syiling peringatan, 2019 menyaksikan muncul kembali pengeluaran syiling peringatan, berita yang sangat mengembirakan buat kelompok peminat tegar hobi ini. Setakat ini belum dikatahui tentang spesifikasi teknikal syiling, namun gambaran yang tersebar dalam media menunjukkan bahawa tiada lagi pengeluaran syiling berwarna sejak pertama kali muncul pada tahun 2013 untuk syiling perak. Penulisan ini akan bersambung insyaallah setelah syiling ini berada di tangan saya ....
**********************
Update 20 September 2019
Isu yang terdapat dalam keluaran syiling ini
Setiap kali ada keluaran syiling peringatan, maka setiap kali itulah muncul pelbagai kisah. Ada yang kisah nyata lagi berfakta, ada juga kisah yang sengaja diwujudkan oleh orang tertentu dengan niat kisah yang di jaja itu akan mendatangkan keuntungan wang ringgit kepada orang yang mula mereka-reka kisah tertentu. Dan untuk keluaran syiling ini, ada sahaja kisahnya...
Bilangan pengumpul syiling peringatan tak ramai mana pun, bukannya sesuatu yang perlu ada dalam setiap rumah. Ada juga orang yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual balik pada harga tinggi, dan orang dengan niat seperti ini akan sentiasa wujud sehingga hari kiamat. Kaedah apa pun yang cuba digunakan oleh BNM, tetap ada pihak yang cuba manipulasi. Kadang-kadang rasa pelik dengan sebuah negara yang keluaran syiling peringatannya tak semeriah mana pun berbanding dengan negara lain, di tambah dengan peminat/pembeli/pengumpul/pemanipulasi yang tak sebanyak mana pun, tetapi kisah yang wujud pada setiap kali keluaran syiling seperti cukup ramuan manis masam pahit kelat.
Bayar dulu – tunggu keputusan dari BNM sama ada berjaya atau tidak – tidak berjaya maka wang akan dipulangkan – berjaya maka boleh datang ambil syiling yang ditempah.
Kaedah terbaru yang dijalankan oleh BNM yang pada mulanya kelihatan agak terbaik walaupun ada juga yang kurang berpuas hati.
Terbaik kerana:
1. Mengelakkan “pembeli” menghantar begitu banyak nama/permohonan. Apabila keputusan keluar, “pembeli” boleh memilih sama ada mahu mengambil kesemua yang ditempah menerusi nama/permohonan ataupun mengambil mengikut keperluan dan sasaran mereka. Contohnya, A hantar 10 permohonan menggunakan 10 nama/kad pengenalan kawan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja. 10 permohonan itu berjaya, sekarang terpulang pada A sama ada mahu mengambil kesemua yang berjaya di mohon atau ambil 5-6 sahaja. A tidak rugi apa-apa pun kerana tidak perlu membayar apa-apa. Apa yang A lakukan pertamanya telah menafikan hak pengumpul lain yang sememangnya mahu membeli (satu tindakan keji dan hina), kedua menyusahkan BNM selaku penjual kerana stok syiling yang tidak diambil perlu menjalani proses pengagihan kepada pembeli yang gagal pada fasa pertama itu tadi. Dan situasi ini nyata terlihat pada keluaran sebelum ini terutamanya keluaran wang kertas peringatan sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
2. Sifir yang mudah - “pembeli” tempah dan bayar dahulu, Jika keputusan keluar dan “pembeli” tidak mahu mengambil syiling, maka kerugian akan ditanggung oleh “pembeli”.
Situasi ini berjalan dengan tenang sehinggalah 3-4 hari sebelum tarikh 17 September 2019 apabila pihak BNM mula memulangkan kembali wang kepada “pembeli” yang gagal. Maka riuhlah seketika dunia numismatik tanah air. Pelbagai senario muncul, antaranya:
1. Begitu ramai, anggaran saya hampir 95% permohonan untuk membeli syiling emas gagal untuk mendapatkan syiling. Kalau ikut logik akal dari segi bilangan tempaan cuma 300 keping “+” bilangan “pembeli” yang ingin membeli – sebenarnya cukup. Kenapa saya kata cukup, saya dah lama dalam hobi ini semestinya saya boleh agak bilangan “pembeli” yang sanggup beli syiling emas, tak ramai mana pun sebenarnya. Jumlah 300 keping itu sebenarnya jauh lebih cukup. Namun kenapa ramai yang gagal. Bila terlalu ramai yang gagal, maka muncul pelbagai desas-desus dan pelbagai kisah berkaitan dengan syiling emas tersebut, sama ada betul atau tidak, hanya BNM sahaja yang ketahui.
2. Sebagai manusia normal yang ada perasaan, kegagalan akan membawa kepada kekecewaan, kemarahan, kesedihan, geram, seterusnya menimbulkan rasa ketidakpuasan hati yang meluap-luap. Maka “pembeli” menterjemahkan kemarahan mereka dengan pelbagai dakwaan. Saya sendiri pernah rasa gagal membeli syiling perak untuk isu Arkib Negara dan terpaksa membeli di pasaran dengan harga yang lebih tinggi. Nak buat macam mana, sebagai pengumpul pastilah mahukan koleksi yang dinginkan berada dalam simpanan walaupun menahan perit kerana perlu mengeluarkan wang ringgit melebihi sepatutnya.
3. “Pembeli” yang gagal merasakan mereka teraniaya, tambahan lagi mereka sudah membayar dahulu / meletakkan wang dahulu, walaupun wang mereka dipulangkan, namun bila hati “pembeli” dalam kekecewaan, maka pelbagai kisah muncul. Bacaan saya pada media sosial –
• Ada yang marah kerana 10 permohonan semuanya gagal terutamanya pembelian syiling emas.
• Ada yang merasakan wang mereka di “rolling” oleh pihak BNM.
• Ada yang merasakan tempoh 14 hari untuk pulangkan wang terlalu lama (sebenarnya tak sampai 14 hari pun, tu jumlah maksimum tempoh) sedangkan transaksi pembelian tersebut sudah dimasukkan dalam penggunaan kad kredit.
• Ada yang tidak mahu lagi membeli syiling peringatan BNM untuk keluaran seterusnya jika kaedah seperti ini dijalankan.
4. Walaupun kaedah “bayar dahulu” pertama kali diadakan, kaedah ini sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa perubahan. Ramai “pembeli” tetap dengan perangai yang sama iaitu memohon dengan begitu banyak nama. Ada yang berasa untung kerana apa yang ingin dimiliki berjaya, namun ramai lagi “pembeli yang gagal.
**********************
Agak sentimental berada di ibu pejabat BNM. Kali terakhir berkampung di sini ialah pada tahun 2012 ketika syiling pertabalan agong dan juga wang kertas peringatan. Selepas itu lokasi beralih ke Sasana Kijang. Suasana pun agak sunyi, tada langsung kemeriahan seperti sebelum ini. Ketika mengambil syiling pun, cuma saya seorang sahaja yang berada, mungkin kerana baru hari pertama. Apa kenangan yang ada pun sekadar arah tuju kertas bersaiz A3 seperti foto diatas, tiada langsung poster atau gegantung.
**********************
Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam Belas pada 30 Julai 2019.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, telah mempersembahkan duit syiling peringatan ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Julai 2019 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Tempahan untuk membeli syiling ini mula dibuka pada 19 Ogos 2019 mulai pukul 9.00 pagi hingga pukul 11 malam 23 Ogos 2019. Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 dan boleh diambil mulai tarikh 30 September 2019 hingga 11 Oktober 2019.
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 1,500 keping ditempa untuk set single.
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Nama rasmi baginda "AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH" tertera di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tarikh pertabalan dipaparkan di bahagian bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka melambangkan Baginda sebagai “payung yang menaungi” 14 buah negeri di Malaysia. Elemen ini dipaparkan di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan Jata Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI" tertera pada bahagian atas duit syiling, manakala nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, dipaparkan di bahagian bawah duit syiling bersama-sama nilai muka duit syiling yang berkenaan. Nilai muka duit syiling dipaparkan di bawah Jata Rasmi. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka dipaparkan di sekeliling duit syiling.
Tiada dalam blog ini
* Turut dikeluarkan ialah duit syiling peringatan emas (pruf) yang diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100. Sebanyak 300 keping ditempa.
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan pruf2 dalam 1 (set two in one) yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 1000 set.
* Jika melihat pada foto yang tersebar di media pada majlis mempersembahkan duit syiling peringatan ini pada 30 Julai 2019 kelihatan set syiling tempaan pruf 3 dalam 1 (set three in one) yang mengandungi duit syiling emas, perak, dan emas nordik. Namun set ini mungkin tidak dijual kepada orang ramai, mungkin untuk orang kenamaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan