Selasa, 24 April 2018

Nasi Kandar Sedap di Pulau Pinang



*Bila Nampak sahaja tol nie... mulalah rasa lapar
 
Assalammualaikum, kesemua koleksi foto ini adalah yang saya ambil ketika beberapa kali berada di Pulau Pinang. Tiada sebarang ranking yang saya susun berdasarkan selera saya sebagai orang luar yang sesekali ke Pulau Pinang, sebab bagi saya semunya sedap dan menyelerakan. Banyak lagi nasi kandar yang belum saya cuba, ada rezeki, akan cuba nasi kandar yang lain pulak.
 
*Bertahun juga saya simpan foto-foto nie, bukannya sebulan sekali dari KL ke Pulau Pinang, bila ada urusan baru ke sana dan menikmati hidangannya.
 
* Walaupun dengan tajuk NASI KANDAR, ada juga saya selitkan NASI DALCA (sebab malas nak buat entri lain).

* Saya ulas sekadar minimum kerana sedap bagi orang lain belum tentu sedap bagi saya, begitu juga sebaliknya. Lauk yang diambil pun akan memainkan peranan. Makan waktu bila sama ada betul betul lapar, tak lapar, baru lepas drive ... itu ini pun akan mainkan peranan.

* Akan ditambah jika saya mencuba nasi kandar yang lain pula.

*UPDATE - Posting nie bersambung-sambung (sentiasa di update), foto diambil dari tahun 2016-2021.
*Setakat nie, dah 37 buah jenis gerai/kedai/restoran yang saya telah cuba dan kongsikan.

Klik pada setiap foto untuk saiz yang lebih besar
 
Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat.
 
1. Restoran Kapitan
Tarikh Makan: 29/04/2016 & 27/11/2016
Terletak di Lebuh Chulia, dua kali saya menjamu selera di sini iaitu waktu tengah hari dan sekali lagi ke Pulau Pinang datang pula pada waktu malam, puncanya terbaca yang waktu malam sahaja ada Susu Badam Boster (Almond Milk). Untuk tengah hari, saya mencuba nasi biryani claypot, agak menarik sebab menggunakan ayam tandori, selalunya ayam tandoori makan dengan roti nan. 
 



2. Nasi Dalca Bawang Sungai Ara 
Tarikh Makan: 29/04/2016 & 27/07/2018  
Nampak blogger lain buat ulasan, maka wajib cuba dan rasa nasi dalca di kedai nie memang tak mengecewakan. Tambahan lagi dengan taburan yang yang menyelerakan beserta kuah yang sedap.   
 
 
 

3. Nasi Kandar Kampung Melayu 
Tarikh Makan: 30/04/2016, 09/07/2017, 28/07/2018, 28/04/2019, 11/07/2020
Terletak di flat kos rendah di Kampung Melayu, Air Itam. Antara nasi kandar paling sedap terutamanya kari kepala ikan dan udang. Dibuka pada awal pagi hingga tengah hari. Dah 5 kali dalam 5 tahun berturut-turut saya bersarapan di sini. 



 
 

 Up Gambar tahun 2020 pulak
 
 
4. Nasi Kandar Deen Jelutong 
Terletak Tarikh Makan: 25/11/2016 
Setiap kali lalu, memang tak pernah nampak orang tak beratur, 24 jam sentiasa orang beratur. Kalau cari senarai nasi kandar di Pulau Pinang pun, nama restoran nie pasti muncul. Tak perlu ulas apa-apa sebab jutaan rakyat Malaysia pernah makan kat sini. 
 

 

5. Pak Din Nasi Dalcha
Tarikh Makan: 25/11/2016 & 08/07/2017
Terletak bertentangan / seberang jalan lokasi Deen Nasi Kandar - berhampiran jejantas. Kalau kat Deen boleh Nampak ramai orang luar, kalau gerai Pak Din nie Nampak penuh dengan penduduk local Penang. Nasi tu makan macam tu ajer pun dah sedap.




6. Restoran Hameediyah
Tarikh Makan: 27/11/2016, 28/11/2016, & 28/04/2019
Terletak di Lebuh Campbell, Georgetown. Kedai nie punya nasi beriyani tak tahu lah nak cakap mcm aman, sedap tak terkata. Selain itu, menu murtabak mereka pun lazat dan sangat popular.
 
 



 
Di Lembah Kelang, ada juga cawangannya di Nexus, atas sedikit dari Ikea Mutiara Damansara. Lebih senang lagi jika menggunakan MRT, turun stesen Surian, dari stesen dah nampak lokasi kedai. Memang kalau saya nak balun nasi beriyani, ke sini lah saya menjamu selera.. Menu wajib yang saya ambil ayam bawang.
 


Update September 2018
Hameediyah telah membuka satu lagi cawangan siap berkonsepkan bistro di Ampang, belakang PETRONAS. Saya dah cuba nasi beriyaninya, sama lazat.
 
 

 
7. Nasi Kandar Imigresen
Tarikh Makan 03/03/2018
Ikut pembacaan di Google, asalnya terletak di bangunan imigresen di jeti, lepastu berpindah ke lokasi sekarang - gerai beroda tiga dihadapan Asia Café, berhampiran Masjid Kapitan Keling. Murah dan sedap, sebagai penggemar bawang, memang saya minta bawang goreng lebih.
 
 


8. Nasi Dalca Briyani Bayan Lepas
Tarikh Makan: 22/04/2018
Pernah Nampak gerai nie dua tahun lepas, tetapi langsung tiada rasa nak menyinggah. Bila baca review orang lain yang kesemuanya beri komen positif, maka kena cuba. Terletak di Kampung Masjid, Bayan Lepas, bagi orang luar seperti saya, guide utama jalan nak ke TH Hotel. Cuma harap lepas nie mereka dapat sediakan pinggan yang lebih besar, padat sangat lauk tu .. kami yang dari luar nie kalau nak makan, mestilah nak cuba lauk itu lauk ini. Tapi rasanya memang kat Pulau nie memang mcm tu stail mereka... tak der masalah, yg penting kelazatan.
 

 
9. Original Kayu Nasi Kandar 
Tarikh Makan: 22/04/2018, 16/10/2021
Dua tiga kali makan di Pulau Pinang dan dua tiga kali juga makan kat area Lembah Kelang. Rasa macam langit dengan bumi, yang kat Penang sedap sesangat, yang kat area KL ... letih. Antara kegemaran saya di sini ialah serbuk sambal dan telur sotong goreng.  

 


10. Nasi Kandar Ali Ameir
Tarikh Makan: 23/04/2018
Pergi untuk sarapan, kedai pun buka pagi untuk sarapan, dan mulai petang untuk makan malam, tengah hari tutup. Yang saya suka (kalau rujuk gambar napam macam sambal bawang masak kicap rasanya), bagi saya agak unik tambahan pula saya memang gemar bawang.
 


 
11. Nasi Kandar Rahmat Berkat
Tarikh Makan: 26/07/2018
Terletak di Jelutong, sederet dengan Nasi Kandar Deen, gerai nie di kaki lima bangunan dan hanya dibuka pada waktu malam. Selalu nampak tapi tak pernah nak menyinggah, maklumlaa kat Pulau nie ada berapa banyak kedai/gerai nasi kandar. Akhirnya kami bertolak dari KL petang, dalam perjalanan memang dah target sampai ajer terus nak makan kat sini sebelum ke hotel. Bila dah drive jauh memang lapar, memang berseleralah masing-masing menikmati.
 

 
 
12. Nasi Kandar NS
Tarikh Makan: 27/07/2018
Terletak di Jalan Burma, beza dengan nasi kandar lain ialah keliling pinggannya berlogokan nama kedai. Masa tu baru lepas kepenatan selepas bersiar di Bukit Bendera, cuaca pun baru lepas hujan, menag sedap lah pekena nasi kandar.   

 
13. Nasi Kandar Deen's Maju
Tarikh Makan: 02/10/2018
Ya Allah, sedapnya. Hanya itu yang bermain ketika menikmatinya, tak hairanlah begitu ramai orang luar yang sanggup itu ini untuk menikmatinya. Bagi saya memang top 3 antara nasi kandar yang paling sedap.
 

 
 
14. Nasi Dalca Rahim
Tarikh Makan: 02/10/2018
Ramai yang kata rasanya autentik seperti asal sebelum lauk pauk moden muncul untuk nasi dalca dan nasi kandar, maka kenalah cuba. Lauk utama yang mereka jual pun cuma ayam dan kambing. Bagi saya ok laa, sekurang-kurangnya pernah rasa. Bila guna waze tak keluar pula nama gerai, jadi kami berpandukan Lebuh Queen, ketika menyelusuri jalan ini, akan kelihatan gerainya. Di buka pada waktu petang hingga malam.
  

 


15. Nasi Kandar Pokok Ceri
Tarikh Makan: 03/10/2018
Agak sukar bagi kami sebagai orang luar untuk mencari kedai ini, waze pula tunjuk nasi kat area Cheras bila taip Nasi Kandar Pokok Ceri. Sudahnya, kami telesuri Jalan Air Itam lalu jumpa, bersebelahan Pasar Dato' Keramat. Guide paling senang sekali ialah Masjid Jamek Shaikh Eusoff (gerainya dalam kawasan masjid - tapi dari jalan besar dah nampak signboard CERI). Masjid nie pun ada sejarahnya KLIK SINI. Untuk ke sini, parkir sahaja kereta dalam kawasan masjid. Ada papan tanda menyatakan bayaran parkir sebanyak dua ringgit, tetapi tiada pula yang datang ambil duit, lepas tu baru kami tahu yang bayaran tu masukkan sahaja dalam tabung masjid. Bagi saya ini terlalu bagus, menguji keihklasan dan kejujuran mereka yang parkir di sini.
 
 


16. Nasi Kandar Beratur / Liqayat Ali
Tarikh Makan: 03/10/2018
Maaf cakaplah, rasanya biasa-biasa. Paling tak suka bila kata buka pukul 10 malam, tapi pukul 10 masih tengah buat itu ini, mungkin strategi mereka nak bagi orang lihat betapa ramainya yang beratur. Kami pergi hari kerja, bukan hari cuti mahupun ada cuti yang berkait, tu pun kami rasa bosan nak beratur.
 
 


17. Nasi Kandar Sulaiman
Tarikh Makan: 04/10/2018

Pagi tu hujan sangat lebat di Pulau Pinang, nak kemana-mana pun payah, dalam pukul 10 pagi, baru kami gerak untuk ke Nasi Kandar Sulaiman. Cabaran lain pula muncul bila kami tak jumpa lokasi kedai walau dah guna waze. Cara terbaik, parking kereta dan jalan kaki, baru jumpa. Kedainya menyewa di sebuah kedai kopi cina bersebelahan Sport Toto, guide paling senang cari sahaja Sport Toto kat Jalan Air Itam tu, kedainya pula walaupun sederet dengan kedai-kedai lain, tapi terletak ke dalam sedikit, ada ruang untuk parking motor di hadapan kedai. Kami pula sampai lewat, lauk pun tinggal apa yang ada ajerlahhh (rujuk gambar).  Kata pemilik, mereka buka dari 4 pagi hingga 11 pagi. Uniknya apabila lauk ayam goreng dan ikan goreng yang kami minta, akan di celup dulu dalam kuah sebelum letak kat nasi. Sambal bawang mereka pun sedap.


16. Nasi Kandar Sempoi / Nasi Kandar Misai Chowrasta
Tarikh Makan: 04/10/2018
Baca kat fb mahupun blog orang lain, lokasinya terletak di Jalan Tamil, berhampiran Chowrasta. Kini dah pindah lokasi lain, (di Jalan Burma, nama pun dah tukar). Lalu waktu siang, sebab kami nak try ais tingkap dan cendol viral tu, malamnya datang untuk pekena nasi. Datang pun dah lewat, ayam bawang pun dah habis, makan ajerlah apa yang ada, janji puas.
 


 
Update Oktober 2019
 

 
Menurut maklumat yang diterima daripada pembaca di ruangan komen. Kedai nie telah pun ditutup dan telah dibuka dengan nama baharu iaitu Nasi Kandar Shah Maju yang terletak di kawasan Jelutong, terima kasih pembaca atas perkongsian maklumat.
 

19. Nasi Kandar Merlin
 Tarikh Makan: 26/04/2019, 13/08/2019, 6/11/2021
Terletak di bawah Hotel Merlin, Lebuh Union dan tiada sebarang papan tanda nama kedai, kecuali papan tanda kecil belah dalam kedai. Kesukaran mendapatkan parking adalah cabaran utama, mujurlah selepas tawaf sekali akhirnya dapat parking. Kombinasi kuah campur memang terbaik. Lauk daging yang saya ambil memang sedap dan lembut.
 
 






 
20. Nasi Kandar Shariff
Tarikh Makan: 26/04/2019
Simple, kalau gerai belum buka orang dah start beratur dan yang beratur tu pula majoritinya penduduk tempatan, tak kan tak sedap., jadi tak perlu komen apa tentang nasi nie. Terletak di Kompleks Makanan Jalan Permai, Gelugor.
 





 
21. Nasi Kandar Ros Mutiara
Tarikh Makan: 11/08/2019
Hadir ke Pulau Pinang pada 10 Zulhijjah / perayaan Aidiladha, 99% kedai nasi kandar tutup, jadi hadap ajerlah restoran yang masih dibuka. Terletak berhadapan Restoran Kapitan Lebuh Chulia.
 
 

 
22. Nasi Dalca Kassim Mustafa
Tarikh Makan: 11/08/2019
50/50 untuk menjamu selera disini pada sebelah malamnya. Kedai byk tak bukak. Kami menginap di area Batu Feringghi, kat situ banyaklah deretan nasi arab, tak kan nak makan nasi arab kat Penang. Mcdonalds pun ada, tapi tak kan nak makan mcd.. jadi ambil keputusan pergi ajerlah ke restoran ini. Sedap atau tak, hadap ajerlah.
 
Sebab pernah baca ulasan orang lain, ada yang kata sedap dan ada juga yang kata tak sedap langsung, itu yang 50/50. Selepas bismillah dan alhamdulillah, ternyatalah apa yang dibaca sekadar panduan, sedap atau tak bergantung pada selera dan tekak sendiri. Bagi saya nasi dalcanya SEDAP.
 
 



23. Nasi Kandar Mohamed Raffee
Tarikh Makan: 12/08/2019
Keesokan hari, apabila semua kedai mula dibuka, dah tentulah kami akan cuba apa yang belum pernah cuba. Antara yang popular, beratur panjang kalau google pun, restoran nie memang masuk dalam senarai. Terletak di Pulau Tikus, tak der pulau pun. Kebanyakkan nasi kandar kat Pulau Pinang nie ayamnya saiz besar, puas makan.

 

  


24. Nasi Kandar Line Clear
Tarikh Makan: 16/10/2019
 

Antara lokasi yang mejadi tumpuan disebabkan faktor Old School. Ini kali keempat saya menjamu selera disini selepas 2008, 2012, dan 2013. Oleh kerana dah banyak kedai lain saya pernah kunyah nasi kandar di pualau nie, rasa di kedai nie dah level biasa-biasa, mungkin faktor lauk yang saya ambil, benda-benda nie kan ikut selera masing-masing

 



25. Nasi Kandar Khaleel
Tarikh Makan: 17/10/2019
Rasanya ada beberapa cawangan, yang saya menjamu selera nie berhadapan pintu USM yang ada stadium mini tu. Ada urusan kerja di USM, jadi tak nak buang masa untuk ke sana ke sini, kami ambil keputusan untuk makan tengah hari di sini.




 
26. Nasi Dalcha Mamu Fatimah
Tarikh Makan: 18/10/2019
TERBAIK - SEDAP - PUAS HATI - KEDAINYA BERSIH - PEKERJA DAN PEMILIKNYA PERAMAH - PASTI AKAN DATANG MAKAN LAGI - kalau dah saya guna all caps untuk beri gambaran, rasanya boleh faham. terletak di Transfer Road berhadapan pagar Balai Polis.
 


27. Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park
Tarikh Makan: 22/12/2019
Ada urusan kerja di Pulau Pinang, tapi bukan dalam pulau, jadi tak masuklah untuk layan nasi kandar. Ada otai Penang nie tanya -Nko pernah makan pelita kat mana? Saya pun jawablah biasa depan USM, tepi highway area Juru, sebelah KLCC, kat Shah Alam. Jadi otai nie pun kata - nko duduk diam-diam, aku bawak nko gi pelita yang paling sedap. Orait.
 
Maka dibawanya saya ke sini. Memang TERBAIK, tak sama dengan pelita lain yang pernah saya makan. Masa tulis entri nie buat carian kat Google. Inilah lokasi pertama Nasi Kandar Pelita. Mungkinlah rupa bentuk kedai nie hari nie dah moden. Tapi disinilah tapak asalnya. Lepas nie kalau ada kelapangan, memang nak bawak family layan kat sini.



28. Nasi Kandar Pokok Ketapang, Butterworth
Tarikh Makan: 23/12/2019
Oleh kerana urusan kerja belah Perai, jadi memang dah teringin sangat nak makan kat sini. Selalu tengok orang lain up kat media socsal, jadi nak lah juga rasa. Sampai ke lokasi lagi 5 minit nak pukul 11, masa tu dah ramai orang beratur. Nampaklah pekerja mereka sedang tolak gerai beroda ke lokasi bawah pokok ketapang yang dililit dengan lampu. Masih kekalkan stail lama, tapi nak bayar guna touch screen hehehehe. Tak jauh dari lokasi nie nampak sebuah kedai nasi kandar nama Jamal Mohamed. Rasanya owner pokok ketapang nie pun nama sama. Sambil beratur tu google lah, memang owner yang sama. Tak per lain kali kalau bawa keluarga boleh layan yang dalam kedai. Kali nie memang nak layan kat bawah pokok.
 
Masa beratur tu, depan saya adalah dalam 50 orang, sambil berborak dengan member-member, saya tolehlah ke belakang. Mak ai, ekor beratur dah sampai ke pintu UOB bank, punyalah ramai.. dan dah time cuti sekolah, pastilah ramai orang luar... saya pun orang luar jugak yang sanggup hadap demi sepinggan nasi. 45 minit lepas beratur, barulah dapat pegang pinggan nasi.
 
Memang berbalaoilah beratur lama, rasanya guna semacam nasi minyak. Kesedapannya tak terkata. Lepas nie kalau dating lagi nak try yang dalam kedai pulak.
 





29. Nasi Kandar Tajuddin Hussain
Tarikh Makan: 09/07/2020
Antara yang klasik di Pulau Pinang. Nak ulas apa pun dah tak reti, so makan ajerlah, tapi kami tak makan nasi kandar, sebaliknya cuba nasi tomato mereka.
 


30. Nasi Kandar Jamal Mohamad
Tarikh Makan: 30/12/2020
Terletak di Butterworth, rasa nasi sama macam nasi kandar pokok ketapang, lokasi pun beberapa langkah sahaja. Pemilik yang sama, cuma yang ketapang tu asal usul, yang jamal Moahamd nie dah moden... itu apa yang saya baca di media sosial.



31. Nasi Kandar Ali IPD
Tarikh Makan: 30/12/2020
Pernah terbaca kat FB, antara nasi kandar yang sedap, malamnya di resort, oleh kerana musim cuti panjang dan malas bersesak, maka saya cuba cari apa yang nak dimakan menggunakan Grabfood, sekali terpandang adanya nasi kandar nie, maka order, tunggu abang grab sampai, bismillah tepi laut.



32. Nasi Kandar N. Hussain
Tarikh Makan:17/10/2021 & 15/12/2021
Antara yang tersorok dan tak ramai orang luar kenali, tetapi sedap dan popular dalam kalangan penduduk sekitar. Kali kedua kami datang, dihidangkan dengan kari kepala ikan jenahak yang sedap.





33. Nasi Dalca Ayam Negro
Tarikh Makan: 5/11/2021
Terletak dibawah/dibelakang Hotel Penaga. Kebetulan menginap disitu, malas nak ke sana ke sini, maka makan kat sini ajer. Nasinya sedap, puas hati makan.



34. Nasi Kandar Makbul
Tarikh Makan:12/12/2021
Dah bertahun nampak kedai nie sebab dulu selalu tidur kat hotel area nie. Kali nie baru berkesempatan untuk cuba nasi kandar nie.



35. Nasi Kandar Natrah
Tarikh Makan:12/12/2021
Menginap di Lexis, jadi malamnya pekena nasi kandar nie. Ramai kata nasi kandarnya ala-ala kemelayuan. Ntah, tak reti nak beza.



36. Nasi Kandar Daud
Tarikh Makan:13/12/2021
Pagi esoknya untuk sarapan, layan kat sini pulak, Natrah belah kanan dan malam, Daud belah kiri dan pagi, dalam kedai kopi Cina yang sama. Kombinasi ayam bawang dengan daging cincang memang padu.



37. Nasi Minang International
Tarikh Makan:14/12/2021
Dah banyak nasi kandar saya try, kali nie cuba pulak kedai minang yang viral. Pastinya signature dish kat sini iaitu ikan jaket sumbat bawang jadi menu wajib. Tengok kiri kana depan belakang, semua yang makan kat sini mesti ambik ikan cencaru  yang sedap nie.





Rasanya, dah banyak nasi kandar yang popular dan viral pernah saya menjamu selera. Insyaallah, jika ada kelapangan untuk ke Pulau Pinang pada kemudian hari, akan cuba pula menjamu selera di kedai nasi kandar lain, Kalau tuan dan puan tahu mana lagi yang sedap, bolehlah tinggalkan komen. Mudah-mudahan ada rezeki.
 


 
 
 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...