Rabu, 4 Februari 2015

Pengalaman dan Ziarah Kota Madinah, Indahnya Masjid Nabawi



Kisah di Kota Mekah, klik
Selepas 7 malam berada di Kota Mekah, setelah selesainya ibadah umrah dengan penutupnya melakukan tawaf wida, akhirnya kami berangkat ke Kota Madinah untuk melakukan ibadah ziarah, kota dimana beradanya insan paling agung, rasul kita semua.

Perjalanan selama lebih kurang 7 jam dalam bas agak bosan, bas memang sedap, kerusi selesa, tak ada rasa melambung walaupun saya duduk belakang sekali, kelajuan bas pun cecah 140-150 km/j. Cumanya tv ada tapi tak pasang apa-apa, radio pun tak buka, kiri kanan nampak padang pasir sahaja dan ada kalanya ladang unta. Berhenti di entah mana (kalau kat sini mcm RnR lah), bezanya RnR yang mereka berhenti tu “letih nak cakap, sangat daif”... memang mundur sesangat, ada kedai makan tapi tiada siapa yang sanggup nak makan, ada semacam kedai runcit, kat situlah beli jajan itu ini sebagai belakan dalam bas. Ada orang jual madu, tapi tak beli sebab nampak cair.
Perjalanan diteruskan lagi, lepastu berhenti kat RnR yang lain, masa nie dah masuk waktu solat maghrib. Masa ini, turun sahaja daripada bas, menegak bulu roma, punyalah sejuk... sejuk gurun. Nak ambil wuduk pun gigil. Tapi kat sini pula macam-macam kedai makan ada, cuma tak menyinggahi kerana hendak cepat sampai ke kota Madinah. Dalam hati berfikir, kenapalah tak singgah sahaja RnR seperti ini yang banyak kedai.. Baskin Robin pun ada.




 


 
Hotel di Madinah yang kami menginap memang best, 5 Bintang. Katilnya empuk, biliknya luas lengkap dengan LED tv, mini peti ais, bilik mandinya besar lengkap dengan segala peralatan.... cumanya bab makan, nantilah di perenggan lain saya ceritakan fasal makan.

Di kawasan ini, hotel semua kalau dilihat daripada luar nampak macam sama, sama lebar, sama tinggi,  cam kotak-kotak, antara lorong-lorong hotel memang banyak peniaga jalanan, bila ada operasi, pandai -pandailah masing masing menyelamatkan barang. Starbuck pun ada tapi tiada tempat duduk... kiranya untuk take away sahaja. Dengarnya banyak juga hotel akan dirobohkan untuk melebarluaskan lagi masjid Nabawi. Depan hotel yang kami menginap pun dah kosong menunggu masa untuk dirobohkan, lupa pula untuk mengambil gambarnya.
Kalau hendak bercerita pasal membeli-belah pula, rasanya 5 entri posting pun tak akan habis, senang cerita bawalah duit ikut kemampuan dan tak melebihi berat beg ketika masuk dalam kapal terbang, apa yang tak ada kat sini... semua ada, dah habis duit riyal, kat sini bersepah-sepah adanya pengurup wang, setiap bangunan hotel ada kedai-kedai menjual itu dan ini.

Sepanjang tiga malam di kota Madinah, suasananya lain berbanding dengan Kota Mekah, suhu yang dingin memang buatkan rasa tenang dan aman, lagipun urusan umrah telah selesai, jadi di sini tidak perlu fikir apa-apa, tak perlu nak terkejar-kejar.... solat - iktikaf - beribadah - lawatan - ziarah - makan minum - shopping - rileks. Kiranya proses untuk merehatkan tubuh badan yang letih ketika melakukan umrah. Inilah kelebihan bagi mereka yang umrah dahulu kemudiannya diikuti dengan ziarah. Lagipun di Madinah, jarak hotel dengan masjid pun dekat.

Kalau ikut pendapat saya, saya lebih gemar dari Malaysia terus ke Mekah untuk melakukan umrah selepas itu baru ke Madinah. Sebabnya tubuh badan kita masih kuat untuk melakukan umrah dan ibadah lain. Kalau ke Madinah dulu, kita dah rasa suasana aman damai lepastu ke Mekah yang suasananya agak  "havoc". Masa tu badan pun dah mula letih.

Namun masing-masing ada pendapat masing-masing, terpulanglah.

 
 
  
 
Macam biasalah, kalau ikut mana-mana agensi pun, lebih kurang sama sahaja lawatannya sama ada ziarah dalam mahupun ziarah luar. Saya tidak mahu ulas panjang lebar sangat mengenai ziarah luar dan ziarah dalam kerana puluhan bloggers lain ada menulis panjang lebar mengenainya.
 
Kalau ziarah dalam ini, jalan kaki tawaf Masjid Nabawi, di sekitar kawasan masjid ini ada pelbagai kisah sejarah, mutawif akan ceritakan itu ini berkenaan tempat yang akan dilawati. Paling menarik bila ditunjukkan kawasan yang digunakan untuk Nabi Muhammad dan sahabat berlatih memanah.  Selalunya akan dibawa masuk ke Raudah, tetapi kami sepakat untuk masuk ke Raudah pada belah malamnya. Siapa yang nak masuk sendiri pun tiada masalah, cuma untuk wanita mereka ada khaskan waktu tertentu. Ziarah luar pula kena naik bas
 

 


  
 
Antara bangunan yang akan dirobohkan.
 

Masjid Quba

Rasanya ramai bloggers lain dah tulis mengenai masjid pertama yang dibina ini, cuma di luar masjid ini ada orang menjual kurma dan ramai rakan-rakan suruh mencuba kurma muda, kurma yang belum masak sepenuhnya... kurma yang masih bersalut dengan ais, kurma ini memang tak boleh bawak balik Malaysia, beli situ habiskan kat situ (Madinah) juga. Rasanya punyalah lazat dan enak....


 
 


Ladang Kurma
Memang telah diberitahu yang musim sejuk memang tiada sangat buah kurma, kalau ada pun kurma stok lama, dan juga ada kemungkinan bukan kurma original Madinah, kurma dari negara lain yang dijual. Jadi kami satu bas cuma melawat dan naik bas balik  - tiada siapa pun yang beli kurma, sebab masa diberi kurma untuk rasa (taste food), terasa kerasnya, kurma yang jual kat area hotel pun lagi lembut, jadi lebih baik beli sahaja di area hotel. Nak ambil gambar pun rasa malas, dengan sesaknya, dengan sempitnya, ambik gambar pokok kurma sahaja sekadar buat syarat. Lagipun masing-masing dalam hati nak ke Bukit Uhud.
 

Bukit Uhud
Antara tempat yang paling syahdu ... rasanya tidak perlu cerita panjang lebar sebab semua sudah maklum mengenainya. Dapat melawati sambil menelesuri sejarahnya memang cukup meninggalkan kesan  yang dalam.


Inilah pemandangan bukit Uhud, walapun dinamakan Perang uhud, kawasan perangnya bukan berlaku di puncak bukit, tetapi berhampiran dengan kawasan ini.

Kalau mengikut cerita mutawif kami, di tempat kami berdiri inilah antara kawasan yang berlakunya peperangan. Bukit yang nampak orang ramai tu - disitulah ditempatkan pemanah yang akhirnya beberapa orang daripada mereka meninggalkan kawasan ini membolehkan tentara lawan datang menyerbu dari arah belakang lalu kesemua pemanah yang masih bertahan di bukit ini menemui syahid.


Terletaknya para makam syuhada yang terkorban dalan Perang Uhud.


Mengikut cerita yang disampaikan, di bawah kubah itu merupakan lokasi dimana bapa saudara Nabi Muhammad saw, Saidina Hamzah dibunuh. Memang suasana berada disini agak lain, terasa jerih payah Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat menegakkan syiar Islam.

Masjid Nabawi

Tenangnya suasana dalam ini, tak terkata, saya tak tahu nak pilih perkataan dan tulisan macam mana untuk menggambarkan perasaan bila berada disini.



 




Di bawah kubah berwarna hijau ini bersemadinya jasad baginda.  Seringkali kita mendengar cerita yang kononnya objek tersembul tu merupakan penjarah kubur yang kena panahan petir lalu melekat disitu. Apabila diajukan kepada mutawaf kami tentang cerita itu, beliau berkata kalau nak tahu betul atau tidak cerita itu cubalah tanam niat tak baik lalu panjat kubah tersebut, kalau betul kena panah petir, maka betullah cerita yang selama ini kita dengar .... pandai betul mutawif nie bagi jawapan lawak dan play safe.



Raudah - antara tempat yang mustajab untuk berdoa. Beza antara kawasan raudah dan yang lain ialah permaidaninya berwarna hijau, manakala kawasan lain permadinya berwarna merah. Tak tahu lah pada masa lain kalau kerajaan arab menukar pula warna permaidaninya. Dapatlah juga memohon doa dalam kawasan ini. Ada juga jemaah yang untung kerana dapat solat fardu dalam kawasan ini, rezeki masing-masing. Bersebelahan ini terletaknya makam Rasullah dan dua orang sahabatnya. tak tergamak pula nak mengambil gambar luaran makam baginda.

Makan di Madinah

Saya tidak akan bercerita kalau saya sahaja yang alami, tetapi seluruh ahli keluarga saya alami, rombongan jemaah kami semua bercakap perkara yang sama. Di organisasi tempat saya bekerja hampir 20 lebih orang sahabat saya  pergi umrah bulan Nov-Dis mengikuti pelbagai agensi turut sama beritahu perkara yang sama iaitu makanan di hotel di Madinah tidak boleh nak telan ... faham-faham ajerlah macam mana rasanya kan. Saya sampai jumpa mutawif beli makan kat luar, bila dah balik sini siap tengok dalam gambar FB rombongan selepas kami ada yang dibawa makan ke luar..ini menunjukkan yang ...... Mungkin ada yang boleh telan..Mungkin ada yang paksa diri untuk kunyah dan telan, itu rezeki masing-masinglah. Tetapi saya dan keluarga memang kena beli makanan di luar, tak lalu nak makan kat hotel. Maaf kalau ada yang tidak sependapat dengan saya.


Layan kebab ini memang antara kesukaan saya, entah berapa kali saya belasah kebab ini, tapi memang sedap, sebab tu gambar kena besar sebab hari hari beli hehehehe
 

 



 
Dalam bas perjalanan pulang dari hotel ke lapangan terbang

 
Sempadan Tanah Haram Madinah


Di lapangan terbang Madinah, kena lagi seround nasi arab, biasalah, dah nak balik jadi tak tahu lagi bila akan diberikan peluang untuk ke sini lagi. Biasalah, harga di airport mestilah up sedikit. Menariknya dan mungkin rezeki, masa tu dalam beg duit ada balance dalam 42 riyal, harga nasi arab nie 40 riyal, kiranya dari segi ekonomi dan pengurusan bajet, berjaya dilaksanakan segala bentuk perbelanjaan mengikut kewangan yang ditetapkan sepanjang berada di Mekah dan Madinah, Alhamdulillah 


Dalam hati siap cakap, masa balik nanti dalam kapal terbang nak layan movie itu, nak layan movie ini, sudahnya tak larat, masing masing kepenatan, kapal terbang belum terbang pun ramai dah pengsan. Namun kenangan di dua Tanah Haram ini memang tak akan dilupakan, betullah kata orang yang pernah ke sana, pasti punya keinginan untuk ke sana lagi, begitulah juga dengan kami, seronok teruja dan pelbagai pengalaman yang dilalui membuatkan meronta untuk ke sana lagi. Mudah-mudahan ada rezeki dan keizinan untuk ke sana lagi.
 
Kesempatan ini saya mohon maaf kepada pembaca jika ada paparan dan tulisan saya mengenai Kota Mekah dan Kota Madinah tidak sehaluan dan sependapat dengan saudara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...