Isnin, 7 Februari 2011

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia (2009)

 
 
 
 
 
**********************************************************







Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan beratnya ialah 21.0 gram sekeping. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Sebanyak 400 keping sahaja ditempa untuk set single. Dikeluarkan pada 10 Februari 2009. Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 08 Februari 2009.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan siluet latar langit Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mencerminkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara sejak kemerdekaannya. Logo Bank Negara Malaysia tertera pada bahagian tengah dalam garis berbentuk bunga lawang, iaitu sejenis rempah tempatan yang dikenali ramai. Bunga lawang ini melambangkan kepentingan perdagangan rempah yang telah menjana pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu dan ia digambarkan pada duit syiling Dinar Matahari yang digunakan pada zaman tersebut. Perkataan "Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia" dan tahun "1959 - 2009" masing-masing tertera pada bahagian sisi duit syiling tersebut.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan perkataan "Bank Negara Malaysia" dalam tulisan Jawi ditulis pada bahagian sisi atas duit syiling. Bintang pecah 14 melambangkan 14 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan dan digambarkan pada bahagian tengah dalam garis berbentuk bunga lawang. Nilai muka duit syiling tertera pada bahagian sisi bawah, sementara pending iaitu corak hiasan tradisional Melayu tertera pada bahagian sisi kiri dan kanan duit syiling tersebut.
 



 **********************************************************
 
Tiada dalam blog ini
 
* Turut dikeluarkan ialah syiling emas tempaan peruf dengan ketulenan 999.9 dan seberat 7.96 gram bernilai muka RM100. Duit syiling ini ditempa sebanyak 300 keping sahaja untuk set single.
 
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan peruf 2 dalam 1 yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1 dan duit syiling perak bernilai muka RM10. Bilangan tempaan untuk set 2 dalam 1 sebanyak 3500 set.
 
* Turut dikeluarkan ialah set syiling tempaan peruf 3 dalam 1 yang mengandungi duit syiling emas nordik bernilai muka RM1, duit syiling perak bernilai muka RM10 dan duit syiling emas bernilai muka RM100. Bilangan tempaan untuk set 3 dalam 1 sebanyak 200 set.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...