YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kiri) berkenan melancarkan setem komemeratif dan syiling edisi khas sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tunku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Sumber: Utusan Malaysia 2 Disember 2022
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini .
Berangkat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Pada majlis sama, Seri Paduka turut berkenan melancarkan setem komemeratif 100 tahun UPSI dengan kerjasama Pos Malaysia serta syiling edisi khas kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Setem khas yang dihasilkan dengan tema ‘Terbilang Merentasi Empat Zaman’ bagi tujuan Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI adalah untuk mengenang sumbangan dan jasa UPSI kepada pendidikan negara.
******
Koleksi Filateli yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada 30 November 2022
*******
Bahagian Hadapan – Tulisan “UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS” dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling dengan berlatarbelakangkan olahan motif Loceng Agung. Logo-logo UPSI dan gelaran terdahulu institusi, iaitu SITC, MPSI, dan IPSI, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling.
Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling manakala nilai muka “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling. Logo rasmi UPSI100 dipaparkan dengan berlatarbelakangkan imej buku terbuka bagi melambangkan limpahan ilmu pengetahuan.
*******
Bank Negara Malaysia mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 18 Disember 2023.
Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) berbentuk segi empat sama yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM440 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa untuk set single silver.
Tempahan untuk syiling peringatan ini secara dalam talian dibuka mulai mulai 11:00 pagi Isnin, 18 Disember 2023 hingga 11:00 malam Isnin, 1 Januari 2024. Saya menerima syiling ini melalui Pos Malaysia pada 29 Januari 2024.
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling memaparkan bangunan Suluh Budiman yang tersergam di kampus UPSI Tanjung Malim sebagai latar bagi ukiran tiga dimensi pohon tembusu yang tumbuh di sekitar kampus tersebut. Bangunan dan pohon ini melambangkan permulaan bersejarah UPSI yang dahulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC). Tulisan “SAMBUTAN 100 TAHUN UPSI” dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling.
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkn nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian dalam olahan motif Loceng Agung, yang berbentuk bulatan hampir penuh. Loceng Agung digunakan pada awal penubuhan UPSI untuk menandakan masa bagi aktiviti utama yang diatur untuk para pelajar. Nilai muka “10 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian kiri duit syiling dengan bayang Anak Kandung Suluh Budiman (gelaran mesra untuk graduan UPSI) pada bahagian kanan duit syiling. Logo rasmi UPSI100 versi berwarna turut dipaparkan dalam olahan motif Loceng Agung.