Penerbitan duit syiling peringatan patut diberi pujian dan disokong penuh oleh semua pihak. Peristiwa penting walaupun tidak dapat dilakarkan sepenuhnya di dalam sekeping duit syiling, namun penerbitannya merupakan salah satu cara untuk kita mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab bersama dalam merangsang semangat cintakan budaya bangsa dan sokongan terhadap aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. Penerbitan duit syiling peringatan sememangnya akan mengayakan lagi koleksi numismatik tempatan. Yang lebih penting ialah penerbitan syiling peringatan mencerminkan keupayaan kita menghasilkan duit syiling yang bertaraf antarabangsa daripada segi mutu, nilai estetika dan reka bentuk, di samping mempamerkan Malaysia sebagai negara yang serba boleh dan berjaya.

Petikan ucapan ayahanda Dato Seri (sekarang Tun) Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Ke-4 pada 23/12/1999.

Tuesday, April 26, 2016

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-70 (2016)

















 
********************************************
KECEWA, SEDIH dan apa sahaja perkataan yang sama maksudnya yang melanda hati boleh digambarkan semasa pembelian syiling ini. Bohonglah jika tiada perasaan itu ada dalam hati saya. Bangun seawal empat pagi, mula beratur sejak jam lima pagi, siapa yang tidak sedih jika apa yang ingin dibeli sudah kehabisan. Lebih menyayat hati melihat laungan kehabisan itu disaksikan dengan mata sendiri. Kalau memang ingin beli set 2 dalam 1, buat apa saya korbankan itu dan ini untuk hadir awal pagi, datang sahaja pada pukul 8 pagi. Mengeluh macam mana pun, benda dah berlaku, salah diri sendiri. Jika orang lain boleh hadir lebih awal daripada itu. Mengapa saya tidak boleh hadir awal??? Memulakan mukadimah dengan luahan hati sendiri ...
  
Lima pagi di Sasana Kijang
Ketika sampai di Sasana Kijang hampir jam lima pagi, melihatkan deretan kereta yang di parkir di kiri kanan jalan. Memang sudah terdetik dalam hati, memang peluang untuk mendapatkan syiling single silver sangat tipis. Dah sampai, beratur sahajalah, tak kan mahu pulang pula. Untuk isu kali ini, syiling single silver menjadi buruan semua kerana bilangan tempaan cuma 500 berbanding dengan set 2 dalam 1 yang jumlah tempaannya berjumlah 2000. Di hadapan saya, saya anggarkan ada kemungkinan hampir 100 orang dan lebih yang sampai lebih awal. Berjumpa dengan orang yang ketiga, beliau hadir pada jam 7 malam hari sebelumnya dan memberitahu bahawa orang pertama yang hadir tiba pada jam 5 petang semalam. Salah seorang kawan baik saya pula tiba dalam pukul 1 pagi menceritakan bahawa sudah ada hampir 40-50 orang di hadapannya. Apa yang menarik, situasi seperti ini cuma diketahui dalam komuniti pengumpul sahaja, belum sampai ke tahap viral, kalau viral mesti kami disamakan seperti makcik-makcik yang berkampung di kaki lima untuk membeli tudung di Bangi tu hehehehe....
 
6.45 pagi

7.00 pagi

7.10 pagi, ekor dah sepanjang ini, mungkin dalam 170-180 orang

Sambil menunggu, membaca di Facebook tentang suasana yang berlaku di cawangan BNM yang lain. Inilah kelebihan teknologi jika digunakan dengan betul. Para pengumpul boleh mengkoordinasi suasana yang berlaku di tempat masing-masing. Ramai pengumpul yang menceritakan gambaran di cawangan BNM yang lain.
 
IKLAN: Mentaliti rakyat Malaysia masih belum berubah

IKLAN: Mentaliti rakyat Malaysia belum berubah



Maaf, gambar blur sebab sambil berjalan sambil petik kamera
Seperti isu-isu sebelumnya sejak kebelakangan ini, nombor  giliran mula diberi seawal pukul 7 lebih, selepas ambil nombor, para pembeli mula bersepah buat hal masing masing sementara menunggu waktu jualan pada pukul 9 pagi.
 

 
Abaikan bulu tangan tu, tu bulu cari makan hehehe... Kali ini BNM menukar stail pemberian nombor. Menggunakan gelang kertas umpama memasuki taman tema hiburan dan menyaksikan konsert. Bila sampai ketika untuk membeli, akan ada staf bnm menggunting dan menyimpanya, jadi tidak dapat disimpan untuk kenangan.
 
 
Melihatkan nombor giliran 104, kembali rasa ceria. Dalam hati berkata tidak mungkin tidak dapat membeli syiling single silver. Kalau ada 150 syiling single silver sekalipun dijual di Sasana, sudah tentu saya dapat memilikinya. Namun, kita hanya mampu berkata-kata untuk menyedapkan perasaan, realitinya hampa.
 
 
 
Sarapan sahaja di Sasana, malas nak keluar. Pertama kali melihat begitu ramai manusia mengerumuni kaunter di kafe tersebut. Sementara menunggu giliran, pelbagai hal disembangkan. Antaranya tentang bukan pengumpul (collector) yang beratur sama.
 
Di hadapan saya, ada hampir 9 orang ... dibelakang saya ada 2 orang, mereka ini daripada kumpulan yang sama, sekumpulan orang yang diupah oleh orang tertentu untuk membeli syiling. Mereka yang diupah ini tidak tahu nak membeli apa pun? Yang memberi upah menulis pada cebisan kertas untuk memberitahu untuk membeli apa dan apa. Hendak menyalahkan mereka tidak boleh, mereka mencari rezeki, kita mungkin tidak tahu kehidupan mereka bagaimana?
 
Lagipun, baik yang memberi upah dan menerima upah tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mereka juga beratur mengikut giliran, mereka juga bersengkang mata, mereka juga tidak menunjukkan sikap jelek. Jadi memang tidak ada salahnya perbuatan mereka.
 

 
Sedikit sahaja lagi hendak sampai giliran membeli, staf BNM memberitahu yang syiling single silver telah pun habis. Pedihnya tak terkata ...
 


Dari FB CT TAN: Coin Card habis pada pukul 1.35 petang
Selesai membeli, bila turun sahaja dibawah terus mengambil gambar ini (walaupun pada foto tertera giliran 130-140, ianya telah habis pada giliran 90 lebih lagi). Single silver habis tidak sampai satu jam selepas jualan iaitu pada pukul 9.51 pagi. Tidak sampai 100 keping pun dijual di Sasana.
 
Bacaan lanjut menerusi Facebook tentang rakan-rakan yang beratur di cawangan BNM yang lain, memang single silver sangat terhad. Kalau dah namanya pun SYILING EDISI TERHAD, maka bilangannya pun perlulah terhad juga.
 
Secara kasar (boleh dianggap hampir tepat kerana angka ini diperoleh daripada mereka yang membeli dicawangan BNM yang lain), jumlah agihan lebih kurang seperti berikut: 95 di Sasana (KL), 5 di Kuala Terengganu, 10 di Kota Kinabalu, 15 di Kuching, 12 di Pulau Pinang dan tiada yang berkongsi dari cawangan Johor tapi rasanya di Johor pun bilangannya turut kecil. Jika dijumlahkan kesemuanya, tidak sampai 200 keping pun single silver yang dijual kepada orang ramai (tidak sampai 50% pun). Ada yang menulis di Facebook bahawa set 2 dalam 1 cuma ada 600 set di Sasana dan Coin Card cuma ada 5000. Di Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Kuching, kesemua syiling habis dibeli dalam pukul 11 pagi.
 
Ada yang mendakwa staf RTM sendiri telah menempah lebih awal dan bilangannya mencecah 300 lebih untuk single silver. Jadi tidak hairanlah jika bilangan syiling yang dijual kepada khalayak umum sangat sedikit. Pengalaman saya dan bacaan saya, situasi seperti ini adalah sesuatu yang biasa, kalau dah organisasi tempat kita bekerja ada koleksi untuk disimpan sebagai kenangan, sudah tentu kita membeli. Bezanya untuk isu ini, kalau betullah 300 lebih syiling dibeli oleh staf RTM, bilangan ini sangat tinggi (yerlah, staf RTM pun berapa ramai...) 
 
Sehari selepas jualan, ada juga pengumpul yang ingin mencuba nasib di Angkasapuri. Namun pulang hampa kerana kesemua syiling yang dijual di Angkasapuri adalah tempahan awal daripada staf RTM.
 
 


Tidak tahu kenapa sekrang ini suka ambil gambar resit belian. Mungkin kerana marah sebab dikenakan GST agaknya. Sebelah kanan resit parkir di Sasana, dahulu RM3 sekali masuk, sekarang RM5 sekali masuk.
 
Keseluruhannya, semua berjalan lancar. Para pembeli pun nampak lebih tenang. Bila diumumkan yang single silver habis pun, situasinya aman. Bagi pengumpul, pasti kita akan tahu yang dunia syiling peringatan ini cuma panas seminggu dua selepas hari jualan. Selepas itu mulai sejuk dan harganya pun akan perlahan lahan menjadi sejuk. Pengalaman banyak mengajar itu dan ini dalam hobi ini.
 
Dan kelihatan adil bila mereka yang beratur hampir 9-10 jam sehinggakan ada yang tidur dalam keadaan duduk, ada yang tidur beralaskan lantai berbantalkan lengan, ada yang berembun, mereka mendapat habuan mereka iaitu dapat membeli apa yang mereka inginkan pada harga jualan. Orang seperti saya yang datang lambat kerana lebih mementingkan empukan tilam bantal memang tidak dapat beli apa yang diinginkan. Mungkin perlu hadir lebih awal.
********************************************




 

********************************************








Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-70. RTM ialah penyiar pertama di Malaysia yang melancarkan siaran radio pada 1 April 1946 dan siaran televisyen pada 28 Disember 1963. Duit syiling ini dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak pada 16 April 2016 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Duit syiling perak pruf berwarna ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. . Sebanyak 500 keping ditempa untuk set single. Syiling ini mula dijual pada 25 April 2016. Sumber tidak rasmi memaklumkan bahawa penempaan syiling berwarna ini dilakukan oleh Singapore Mint. Sijil Ketulenan atau [COA – Certificate Of Authenticity] untuk isu ini merupakan tandatangan terakhir Gabenor Bank Negara Malaysia, Y.M Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ungku Zeti Akhtar Binti Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz. Beliau menjadi Gabenor BNM mulai 1 Mei 2000 hingga 30 April 2016.

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej ibu pejabat RTM yang ikonik iaitu Angkasapuri pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini . Bangunan ini mempunyai muka hadapan yang unik, dihiasi dengan motif yang berasaskan bentuk LIDAH. Perkataan RADIO TELEVISYEN MALAYSIA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun 1946 - 2016 yang menandakan ulang tahun ke-70 dipaparkan di bawah perkataan tersebut.

Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan perkataan BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling pula tertera pada bahagian bawah reka bentuk duit syiling. Logo perayaan bersempena dengan Ulang Tahun RTM Ke-70 yang berwarna dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini untuk syiling perak pruf.

********************************************
 





 
Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-70. RTM ialah penyiar pertama di Malaysia yang melancarkan siaran radio pada 1 April 1946 dan siaran televisyen pada 28 Disember 1963. Duit syiling ini dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak pada 16 April 2016 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
 
Duit syiling perak pruf ini diperbuat daripada logam perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10. Manakala duit syiling emas nordik pruf diperbuat daripada logam Cu89 Zn5 AI5 Sn1 seberat 8.5 gram bernilai muka RM1. Sebanyak 2000 set ditempa untuk set 2 dalam 1. Syiling ini mula dijual pada 25 April 2016. Sijil Ketulenan atau [COA – Certificate Of Authenticity] untuk isu ini merupakan tandatangan terakhir Gabenor Bank Negara Malaysia, Y.M Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ungku Zeti Akhtar Binti Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz. Beliau menjadi Gabenor BNM mulai 1 Mei 2000 hingga 30 April 2016.
 
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan imej ibu pejabat RTM yang ikonik iaitu Angkasapuri pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini . Bangunan ini mempunyai muka hadapan yang unik, dihiasi dengan motif yang berasaskan bentuk LIDAH. Perkataan RADIO TELEVISYEN MALAYSIA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun 1946 - 2016 yang menandakan ulang tahun ke-70 dipaparkan di bawah perkataan tersebut.
 
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan perkataan BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling pula tertera pada bahagian bawah reka bentuk duit syiling. Logo perayaan bersempena dengan Ulang Tahun RTM Ke-70 yang berwarna dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini untuk syiling perak pruf.
********************************************
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...